- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Kerajaan Anwar dikecam teruskan hantar pulang pelarian ketika rejim Myanmar lancar 'penyembelihan dari udara'

Dua kumpulan hak asasi global mempersoalkan sikap talam dua muka Malaysia dengan merujuk gesaannya di PBB supaya semua negara mematuhi undang-undang antarabangsa.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Mayat seorang penduduk terbaring di sebelah bangkai motosikalnya selepas serangan udara junta Myanmar ke atas sebuah kawasan pasar sesak di Kyauktaw, berhampiran Negeri Rakhine, 28 September 2026.
Mayat seorang penduduk terbaring di sebelah bangkai motosikalnya selepas serangan udara junta Myanmar ke atas sebuah kawasan pasar sesak di Kyauktaw, berhampiran Negeri Rakhine, 28 September 2026.

Kumpulan hak asasi global Amnesty International dan Asylum Access mengecam pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana meneruskan fasa pertama pelan kontroversi mengusir pelarian Myanmar, ketika junta tentera di negara itu giat melancarkan kempen pengeboman udara di negeri Rakhine yang mengorbankan puluhan orang awam.

“Ini merupakan kegagalan paling serius dilakukan oleh Malaysia sejak kebelakangan ini dalam melindungi pelarian,” kata Joshua Ericsson, pengarah eksekutif sayap tempatan Amnesty International.

“Sudah berulang kali kerajaan diingatkan mengenai risiko yang dihadapi. Ia sudah mendengar pandangan komuniti pelarian, pertubuhan masyarakat sivil, agensi PBB dan pakar antarabangsa. Namun, ia tetap memilih meneruskannya.”

Ia merupakan kecaman keras terkini oleh sebuah badan global terhadap tindakan Anwar mengubah dasar Malaysia selama ini untuk melindungi pelarian dari Myanmar, yang kebanyakannya umat Islam Rohingya, yang sejak kebelakangan ini menjadi sasaran kempen kebencian terhadap komuniti migran yang mencari perlindungan di negara ini selepas menyelamatkan diri daripada keganasan rejim Myanmar.

Minggu lalu, kumpulan doktor terbesar dunia, Médecins Sans Frontières (MSF) atau Doctors Without Borders, membantah rancangan Anwar mengusir kumpulan pertama seramai 1,400 pelarian yang dikenal pasti oleh junta Myanmar sebagai warganegara, sambil menyatakan mereka sekali lagi berisiko berdepan keganasan yang menjadi punca mereka melarikan diri.

“Ketelusan dan penjelasan segera diperlukan berhubung 1,476 orang pelarian yang berisiko dihantar pulang secara paksa ke tempat yang dilanda keganasan dan ancaman, iaitu keadaan yang memaksa mereka melarikan diri,” kata MSF.

Pelan tersebut merupakan sebahagian daripada keputusan kontroversi yang diumumkan Anwar tanpa memberikan butiran jelas, dengan mendakwa junta Myanmar telah bersetuju menerima semula 5,000 pelarian dari negara itu. 

Bagaimanapun, ramai beranggapan pengumuman Anwar lebih berupa usaha mengiyakan naratif kempen kebencian terhadap pelarian Rohingya dan komuniti migran lain di Malaysia, selain mengabaikan dasar untuk tidak mengiktiraf junta Myanmar, rejim yang selama berdekad-dekad menjalankan kempen kejam mengusir warga Muslim Rohingya dari wilayah Rakhine (Arakan).

‘Pembunuhan beramai-ramai dari udara’

Bermula semalam, kerajaan menghantar pulang seramai 1,476 pelarian yang “dikenal pasti” oleh rejim Myanmar, di bawah fasa pertama apa yang didakwa sebagai “program penghantaran pulang sukarela” yang dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Mayat orang awam yang rentung akibat serangan udara junta Myanmar ke atas sebuah pasar sesak di Kyauktaw, berhampiran Negeri Rakhine, pada 28 September 2026.
Mayat orang awam yang rentung akibat serangan udara junta Myanmar ke atas sebuah pasar sesak di Kyauktaw, berhampiran Negeri Rakhine, pada 28 September 2026.

Rancangan itu diteruskan meskipun kerajaan sebelum ini memberi jaminan ia tidak akan diteruskan sekiranya nyawa pelarian terancam.

Hakikatnya, ia berlaku ketika junta Myanmar melancarkan apa yang disifatkan sebagai “pembunuhan beramai-ramai dari udara”, termasuk serangan udara semalam ke atas sebuah kawasan pasar yang sesak di Kyauktaw, berhampiran Rakhine, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 49 orang dan mencederakan 58 yang lain, kebanyakan mereka wanita dan kanak-kanak.

“Mayat banyak mangsa yang terkorban tidak dapat dikeluarkan kerana rentung,” kata aktivis terkemuka Rakhine, Wai Hun Aung, dipetik portal berita The Irrawaddy.

Serangan terbaharu itu mengundang kecaman pertubuhan Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia (APHR), yang turut menggesa Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing “disekat dan dipertanggungjawabkan atas jenayah kemanusiaan”.

Menurut data PBB, serangan udara oleh junta mengorbankan 982 orang awam pada tahun 2025, meningkat daripada 641 orang pada 2024. 

Sejak rampasan kuasa 2021, lebih 100,000 orang terkorban manakala lima juta orang kehilangan tempat tinggal, setengah juta daripadanya berada di Rakhine.

Dalam kenyataan ini, Amnesty International dan Asylum Access berkata tindakan menghantar pulang pelarian bercanggah dengan prinsip “non-refoulement” di bawah undang-undang antarabangsa yang melarang pemulangan secara paksa seseorang ke negara yang boleh menyebabkan mereka berdepan penganiayaan.

Menurut mereka, prinsip tersebut perlu dipatuhi semua negara sama ada yang telah meratifikasi Konvensyen Pelarian atau sebaliknya. 

“Kami amat bimbang tindakan ini dilakukan ketika dunia menuntut akauntabiliti atas kekejaman yang dilakukan di Myanmar, termasuk melalui prosiding di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).”

Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan bercanggah dengan pendirian Malaysia sendiri di PBB baru-baru ini, apabila Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan dalam ucapannya mengkritik negara yang memilih untuk mematuhi undang-undang antarabangsa “hanya apabila difikirkan bersesuaian”.

“Namun, itulah sebenarnya yang sedang berlaku di sini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu mengimbas kembali pendirian Malaysia sebelum ini yang menuntut akauntabiliti atas kekejaman dilakukan junta Myanmar terhadap etnik Rohingya.

“Tetapi hari ini, kerajaan yang sama bersedia meraikan Min Aung Hlaing ke Malaysia bagi memudahkan proses penghantaran pulang pelarian dengan segera, walaupun beliau masih menjadi subjek waran tangkap oleh ICC atas dakwaan jenayah kemanusiaan ke atas etnik Rohingya.

“Malaysia tidak boleh menjuarai akauntabiliti di PBB pada masa yang sama memeterai perjanjian dengan Min Aung Hlaing bagi membenarkan pelarian dikembalikan kepada situasi bahaya di Myanmar,” tambahnya.