'Eleh bukan kau duduk pun dengan Rohingya'
Saya tinggal satu barisan dengan pasar. Di sini, macam-macam orang ada.
Terkini
Wanita bertudung di sebelah saya dalam gambar ini namanya Hasnah. Lahir dan membesar di Malaysia. Tak ada tempat lain yang dia kenal selain tanah ini. Ya, dia seorang Rohingya.
Orangnya pintar. Seorang polyglot. Tapi tak ada peluang untuk dapat pendidikan formal.
Ketika Covid-19 melanda dunia, saya dan teman-teman mengusahakan bantuan bagi yang memerlukan. Hasilnya, selama dua bulan berterusan, kami dapat menghantar bantuan berupa lebih 10 bahan asas, kepada lebih 2,000 keluarga, dengan manfaat kepada lebih 10,000 individu.
Hasnah ada setiap hari membantu. Menyusun, mengatur dan menghantar bantuan, untuk anak semua bangsa.
Malah bukan saja Hasnah, kami turut dibantu oleh komuniti pelarian. Jangan lupa waktu ini belum ada vaksin. Setiap hari kami terdedah dengan risiko.
Berapa kami terima dari usaha ini? Tidak ada satu sen pun!
Hari ini, ada usaha sebar kebencian melampau. Posting berkait isu Rohingya, pasti akan ada sahaja cytro yang masuk. Bukti bahawa memang ada pihak sengaja memainkan isu ini.
Sebelum ada yang sebut, "eleh kamu tak duduk dengan mereka, kamu tak tahu", saya tinggal satu barisan dengan pasar. Di sini, macam-macam orang ada.
Saya juga pernah menetap sebentar di United Kingdom, bagi menyempurnakan pengajian master di SOAS University of London dalam bidang politik Asia. Di negara barat, kebencian beginilah juga cuba dimainkan kelompok kanan ekstrem terhadap kami. Orang berkulit coklat seperti kita semua, dan kepada orang bukan kulit putih. Kebencian ini membawa kepada serangan-serangan, hingga ada yang ditikam hingga mati!
Hujahnya sama! Konon mereka ini ambil pekerjaan, kemudahan. Sedang orang Rohingya cuma 0.3% dari populasi. Tetapi ketakutan yang ditanam seperti inilah punca segala masalah.
Kita sentiasa takut dengan bayang-bayang sendiri. Kita hilang pertimbangan, hingga merasa mereka ini bukan setaraf manusia. Hanya kita yang punya rasa gembira, sedih, bahagia. Mereka tidak. Sekarang ada yang sebut hingga nak bakar mereka, nak tembak seperti gagak.
Kita lupa bahawa mereka juga berhadapan genosida. Dibunuh setiap hari. Menghantar pulang samalah dengan menjatuhkan hukuman mati.
Ya, tidak ada siapa yang suka dengan jenayah. Tapi kita ada undang-undang. Yang bermasalah mesti ditangani, siapa pun dia.
Jadi solusinya apa? Solusinya, beri mereka layanan selayaknya seorang manusia. Akses kepada pekerjaan, pendidikan, kesihatan.
Saya dan teman-teman akan terus bersama mustadhafin melawan mustakbirin. Yang tertindas melawan yang menindas. Dari Sudan ke Cuba, dari Arakan ke Palestina!
Note: Hasnah kini sudah di negara ketiga. Sudah punya ijazah juga. Moga terus mendapat kebaikan dan kejayaan dalam hidup. Kisah Hasnah boleh ditonton di YouTube dengan carian "Hasnah Hussin".
Amir Hadi merupakan pengasas bersama Pusat Pembangunan Rakyat, atau Mandiri, sebuah badan memperkasakan golongan muda. Artikel asal diterbitkan di Facebook penulis.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
