Atok, saya dan usia: Nasihat 'wartawan tua' kepada laskar upahan
Janganlah memandai-mandai mempersenda usia seseorang, kerana yang sekarang muda akan jadi tua jika dipanjangkan usia.
Terkini
Saya dididik di rumah, di sekolah dan di tempat kerja yang masalah negara adalah masalah bersama dan, pada setiap masa, wajib peduli kepada negara.
Oleh sebab itulah, walaupun usia sudah lanjut dan tidak lagi mencari makan sebagai wartawan, saya terus menulis mengenai isu-isu kepentingan negara tanpa mempeduli sangat pujian dan makian.
Lagipun, membaca, berfikir dan berhujah (menulis) membantu menyegarkan ingatan.
Saya faham ramai penyokong Madani, laskar siber, dan ceplos (bermulut celupar) yang memaki hamun saya ada beberapa jenis. Ada yang benar-benar percaya kepada janji reformasi, benci kepada pemimpin lepas-lepas dan semasa serta yang bergiat kerana diupah.
Sesetengah penaja laskar siber pernah bekerjasama dan berkoloborasi dengan saya pada zaman asmara dana Mahathir-Anwar-Daim dulu (1982-1998).
Saya tidak perlu nafi atau berasa malu tentang perkenalan yang lama dengan Dr Mahathir Mohamad.
Pada zaman media arus perdana, saya pernah digelar pengampu beliau. Pada zaman media sosial sekarang, saya dipanggil "penjilat atok".
Atas kehendak takdir, saya kenal Atok sejak tahun 1964. Alhamdulillah, selama 61 tahun itu, tidaklah pula saya didakwa jenayah atau dikenakan saman sivil kerana menjilat mana-mana anggota badan beliau.
Saya pun kenal juga Anwar Ibrahim lama juga (mulai 1982) dan Almarhum Daim Zainuddin (mulai 1983).
Kutuk dan hinalah Atok dengan apa juga kutukan dan penghinaan, Atok tidak pernah dituduh di mahkamah undang-undang atau dipenjarakan.
Sebaliknya, Atok berulang kali mencabar, kalau ada kes beliau bersedia didakwa dan dipenjarakan. Sekarang pun Anwar dan Azam Baki masih siasat beliau sampai ke luar negara. Sudah lebih dua tahun belum ada pendakwaan.
Apabila Atok saman Anwar di mahkamah sivil kerana fitnah, perbicaraan dilengah-lengahkan dengan respondan (Anwar) membuat bermacam-macam helah melambat-lambatkan perbicaraan.
Kemudian mereka kata saya wartawan tua, "kubur kata mai, rumah kata pi". Betul, berbanding dengan wartawan media arus perdana yang ada sekarang, saya tua. Saya sudah berusia 78 tahun dan jadi wartawan sudah 56 tahun.
Cuma, kalau rumah kata pergi dan kubur kata mari kepada saya kerana tua, rumah dan kubur pun kata hal yang sama kepada banyak orang, termasuklah Anwar.
Bukan apa, kalau saya wartawan tua, Anwar adalah perdana menteri tua. Malah beliau lebih tua daripada saya dengan 13 hari: beliau lahir 10 Ogos 1947, saya lahir 23 Ogos 1947.
Usia, pendek atau panjang, bukan penentuan kita. Ia hak mutlak Allah. FirmanNya: "....Dan tiadalah Kami panjangkan umur seseorang atau dikurangkan umurnya melainkan telah (tercatat) di dalam Kitab (Loh Mahfuz). Sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah.” (Surah Al Fatir)
Jadi janganlah kita pertikai hak dan kuasa Allah dengan mempersenda usia seseorang, sama ada muda atau tua.
Hormatilah usia kerana ia adalah nikmat Allah, dengan kuasa dan kehendakNya. Surah Al-Isra’ ayat 85: "Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Roh, katakanlah 'Roh itu termasuk urusan Tuhanku, sedangkan kamu diberi pengetahuan hanya sedikit'.
Jadi, janganlah memandai-mandai dengan mempersenda usia seseorang. Yang sekarang muda akan jadi tua jika dipanjangkan usia oleh Allah. Akan jadi atok dan nenek juga.
A Kadir Jasin ialah bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times. Rencana ini pertama kali diterbitkan di Facebook oleh penulis.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
