Siapa di belakang tawaran rasuah RM50 juta gugurkan undang-undang anti-rokok?
Ia bukan lagi persepsi bahawa wujud satu corak campur tangan industri yang sistemik dan terancang dalam proses penggubalan dasar kesihatan awam negara.
Terkini
Kami memandang serius pendedahan terbaharu bahawa seorang pegawai kepada bekas menteri kesihatan telah menyatakan secara terbuka bahawa menterinya pernah ditawarkan imbuhan berjumlah RM50 juta bagi menggugurkan peruntukan Generational End Game (GEG) daripada RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam.
Walaupun didakwa tawaran tersebut telah ditolak, pendedahan ini menimbulkan persoalan besar dari sudut kedaulatan undang-undang, integriti pentadbiran awam dan kewajipan undang-undang semua pemegang jawatan awam.
Cubaan menawarkan imbuhan kewangan bagi mempengaruhi penggubalan undang-undang adalah suatu tindakan merasuah, satu jenayah serius di bawah undang-undang negara.
Lebih membimbangkan, kegagalan melaporkan cubaan rasuah — walaupun ditolak —
berpotensi merupakan suatu kesalahan, sebagaimana ditegaskan oleh bekas menteri kesihatan sendiri dalam reaksi awam beliau.
Perkara ini menyentuh secara langsung prinsip Rukun Negara, Kedaulatan Undang-Undang, yang menuntut semua, tanpa pengecualian, tertakluk dan patuh kepada undang-undang.
Pendedahan terkini ini mengukuhkan laporan terdahulu bahawa wakil industri vape melobi ahli Parlimen dan mempengaruhi pengguguran peruntukan GEG.
Gabungan fakta ini menunjukkan satu corak campur tangan industri yang sistemik dan terancang dalam proses penggubalan dasar kesihatan awam negara. Ini bukan lagi isu persepsi, tetapi isu kepentingan awam yang mendesak siasatan menyeluruh dan telus.
Sehubungan itu, kami mendesak:
1. Satu siasatan awam bebas dijalankan segera oleh pihak berkuasa berkenaan,
termasuk SPRM, bagi menyiasat:
- Pihak yang menawarkan imbuhan;
- Saluran dan kaedah tawaran dibuat;
- Sebab kegagalan laporan dibuat; dan
- Tahap pengaruh industri terhadap proses legislatif.
2. Pendedahan penuh kepada rakyat mengenai hasil siasatan selaras dengan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.
Perkembangan ini membuktikan kelemahan struktur perlindungan dasar awam daripada pengaruh industri berbahaya, khususnya industri tembakau dan vape.
Oleh itu, kami menggesa kerajaan Malaysia untuk segera:
a. Menggubal RUU Pendanaan Politik bagi memastikan:
- Ketelusan sumbangan politik;
- Larangan sumbangan daripada industri yang bercanggah dengan kepentingan
awam; - Mekanisme penguatkuasaan yang jelas dan berkesan.
b. Menggubal dan menguatkuasakan Code of Conduct selaras Artikel 5.3 FCTC, yang merangkumi prinsip berikut:
- Melindungi dasar kesihatan awam daripada campur tangan industri tembakau dan
vape. - Ketelusan dan akauntabiliti penuh bagi semua interaksi kerajaan–industri.
- Meminimumkan interaksi dengan industri yang kepentingannya bercanggah
dengan kesihatan awam. - Tiada layanan istimewa kepada industri melalui insentif, kelonggaran atau
keistimewaan dasar. - Pencegahan konflik kepentingan bagi semua penjawat awam dan wakil rakyat.
- Skop menyeluruh meliputi cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman.
Isu ini bukan soal individu semata-mata, tetapi ujian terhadap:
- Keberanian negara menegakkan undang-undang;
- Kejujuran sistem politik;
- Komitmen Malaysia terhadap kesihatan awam dan generasi masa depan.
Kegagalan bertindak tegas akan menghantar mesej berbahaya bahawa campur tangan industri dan cubaan rasuah boleh berlaku tanpa akibat.
Rakyat berhak mengetahui kebenaran. Undang-undang mesti ditegakkan. Dasar kesihatan awam mesti dilindungi.
Dr Murallitharan Munisamy ialah Pengerusi, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
