- Iklan -
BeritaBaru Terbit

'Kerajaan pun hadir sama': Anwar diingatkan jangan berpura-pura selepas Najib pulang ke rumah

Kumpulan peguam memetik kenyataan Istana Negara yang menunjukkan siapa hadir menasihati Agong pada mesyuarat Lembaga Pengampunan yang membenarkan bekas perdana menteri itu keluar penjara.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh hadir dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang membenarkan Najib Razak menjalani hukuman penjaranya di rumah.
Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh hadir dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang membenarkan Najib Razak menjalani hukuman penjaranya di rumah.

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil tanggungjawab terhadap apa yang disifatkan sebagai "malapetaka" dalam usaha memerangi rasuah, susulan langkah membenarkan Najib Razak pulang ke rumah semalam yang seterusnya mencetuskan perdebatan mengenai prinsip kesamarataan di sisi undang-undang.

LFL berkata Anwar dan pemimpin kerajaan "mesti berhenti berpura-pura bahawa mereka tiada kaitan dengannya".

"Perdana menteri tidak boleh bertindak seolah-olah beliau tiada peranan dalam hal ini," kata Pengarah LFL, Rania Aljunied, yang turut mempersoalkan hantaran Anwar di media sosial semalam yang memetik hadis yang menekankan hukuman sama rata tanpa mengira kedudukan seseorang.

"Adalah mengelirukan apabila beliau kini menggambarkan dirinya sebagai pemerhati sahaja. Hadis tersebut adalah secara asasnya terpakai terhadap mereka yang berkuasa. Ia tidak menghapuskan tanggungjawab kerajaan. Ia meninggikan standard yang mesti dipenuhi oleh kerajaan," tambahnya.

Merujuk kenyataan Istana Negara bertarikh 7 November, LFL berkata wakil kerajaan – Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh dan Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar – kedua-duanya hadir menasihati Yang di-Pertuan Agong semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan yang membenarkan Najib pulang ke rumah. 

Menurut LFL, ia membuktikan bahawa keputusan tersebut melibatkan kerajaan.

"Di bawah Perkara 40(1A), Yang di-Pertuan Agong terikat menerima nasihat yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan.

"Harus diingat bahawa Lembaga itu terdiri daripada, antara lain, peguam negara dan menteri yang bertanggungjawab ke atas Wilayah Persekutuan. Maka perintah itu dibuat atas nasihat Lembaga, dan kerajaan hadir di meja perbincangan."

Menurutnya, Agong hanya boleh bertindak mengikut budi bicara baginda dalam keadaan terhad seperti termaktub dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

"Apabila melibatkan kuasa pengampunan, baginda bertindak atas nasihat."

Pada 18 September, Najib diberikan pengampunan bersyarat oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, susulan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Semalam, Najib mula menjalani baki hukuman penjara yang telah dikurangkan itu sebagai tahanan rumah di kediaman mewah beliau di Taman Duta, Kuala Lumpur.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah disabitkan atas salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

LFL menyifatkan perkembangan itu sebagai "malapetaka bagi reputasi antarabangsa negara kita".

"Skandal rasuah 1MDB merupakan krisis berskala global, dan seluruh dunia sedang memerhati sama ada kedaulatan undang-undang dan integriti kewangan akan ditegakkan di Malaysia," katanya.

Ia turut membandingkan nasib Najib dengan seorang penganggur di Kelantan berusia 43 tahun yang juga bapa kepada lima anak, yang dijatuhi hukuman penjara enam bulan setelah disabitkan mencuri barangan runcit bernilai RM394 dari sebuah pasar raya.

"Adakah dia akan mendapat layanan yang sama seperti Najib?" soal Rania.

LFL berkata sebarang usaha memperkenalkan undang-undang tahanan rumah perlu menetapkan syarat yang jelas kepada banduan yang memohon, sambil menambah keputusan tersebut tidak boleh dibuat "secara tertutup".

"Kerajaan tidak boleh memilih-milih siapa yang mendapat tahanan rumah, dan tidak boleh ada agenda tersembunyi."