- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Hasmah, wanita di sisi Dr Mahathir, meninggal dunia pada usia 100 tahun

Dr Hasmah Mohamad Ali akan dikenang sebagai wanita yang sentiasa berasa di samping suaminya sepanjang kehidupan mereka yang berprofil tinggi.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi

Dr Hasmah Mohamad Ali, isteri kepada Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia pagi ini.

Hasmah, yang genap berusia 100 tahun pada 12 Julai lalu, meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada jam 9.20 pagi ini.

Beliau akan dikenang sebagai wanita yang sentiasa bersama suaminya sepanjang kerjaya beliau yang berprofil tinggi selama berpuluh-puluh tahun yang mencorakkan sejarah Malaysia moden, termasuk ketika Mahathir memimpin negara dua kali sebagai perdana menteri.

Namun, Hasmah tidak sekadar dikenali sebagai teman hidup kepada salah seorang tokoh paling terkemuka dalam sejarah moden Malaysia.

Beliau sendiri merupakan antara wanita Melayu terawal yang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, dan kemudiannya menjadi rujukan penting dalam penjagaan kesihatan ibu dan kanak-kanak.

Antara lain, Hasmah menghasilkan penulisan di samping menjadi pensyarah dalam topik perubatan keluarga dan bidang berkaitan.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Hasmah ialah anak keenam daripada 10 orang adik-beradik.

Beliau mendapat pendidikan di Methodist Girls’ School, St Mary’s School dan Pudu English School di Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian di King Edward VII College of Medicine di Singapura (kini sebahagian daripada National University of Singapore), di mana beliau pertama kali berkenalan dengan Mahathir, yang ketika itu juga menuntut dalam bidang perubatan.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 1956 di Kuala Lumpur.

Pada hari-hari akhirnya, Hasmah sering muncul di tempat awam bersama suaminya. Kedua-duanya yang berkerusi roda sentiasa dikelilingi orang ramai yang ingin merakam gambar bersama pasangan paling terkenal di Malaysia itu.