'Memalukan negara': Anwar dikecam ulang retorik anti-Rohingya, bentang permaidani merah kepada diktator Myanmar
Peguam dan bekas ketua SPRM Latheefa Koya bertanya sama ada perdana menteri juga bersedia menjalin hubungan dengan rejim Israel bagi menamatkan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Terkini
Peguam hak asasi Latheefa Koya melancarkan serangan tajam terhadap Anwar Ibrahim selepas perdana menteri dilihat mengulangi naratif kempen kebencian terhadap etnik Rohingya di Malaysia, sambil menyifatkan rancangannya menghantar pulang mereka kepada rejim Myanmar bukan sahaja bercanggah dengan pendirian lamanya mempertahankan komuniti pelarian itu, tetapi juga “memalukan, tidak berakhlak dan mencemar imej negara di mata masyarakat antarabangsa”.
Bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu turut mempertahankan keputusan pentadbiran lalu di bawah Najib Razak untuk memberi perlindungan kepada etnik Rohingya, golongan yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai “salah satu golongan minoriti paling teruk ditindas di dunia” ekoran kempen pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Myanmar yang mengorbankan puluhan ribu nyawa di samping menyebabkan jutaan terpaksa hidup sebagai pelarian di seluruh Asia Tenggara.
“Jelas sekali Malaysia telah melakukan tindakan yang betul dan selaras dengan tanggungjawab antarabangsa serta prinsip PBB apabila menerima dan mengalu-alukan kehadiran masyarakat Rohingya sebelum ini,” katanya.
“Dakwaan Anwar kononnya orang Rohingya dibawa masuk semasa pentadbiran Najib juga merupakan satu pembohongan terhadap sejarah yang bertujuan meraih modal politik murahan bagi menyerang Umno dan PAS. Kemasukan orang Rohingya berlaku sebelum pentadbiran Najib lagi. Penderitaan orang Rohingya tidak seharusnya dijadikan bahan politik oleh Anwar dan kuncu-kuncunya.”
Dalam sebuah program podcast, Anwar ditanya mengenai apa yang disifatkan sebagai “kemarahan orang Malaysia” terhadap “lambakan etnik Rohingya”, merujuk dakwaan yang dibuat melalui ratusan video TikTok dan hantaran media sosial yang menyeru keganasan terhadap komuniti pelarian itu, yang disebarkan melalui akaun palsu.
Dalam jawapannya, Anwar mengulangi naratif kempen dalam talian itu dengan mendakwa etnik Rohingya “melanggar kampung, melanggar peraturan, buat perhimpunan haram dan mempertikaikan kedudukan rakyat Malaysia”.
Beliau kemudian menghalakan kritikan terhadap Najib dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana mengalu-alukan penduduk Rohingya yang melarikan diri daripada kempen anti-Muslim junta Myanmar pada 2016, ketika perkampungan mereka dibakar di samping jenayah rogol dan pembunuhan oleh militia tajaan kerajaan di negeri Arakan.
Latheefa, suatu ketika dahulu sebahagian daripada pasukan peguam Anwar ketika beliau dipenjarakan atas sabitan liwat pada 2015, mengingatkan pemimpin PKR itu mengenai gesaannya dari penjara supaya “mengambil tindakan konkrit bagi membantu etnik Rohingya”.
“Sikap beliau kini yang cuba menyalahkan pentadbiran terdahulu adalah satu hipokrisi yang nyata,” tambahnya.
Pendirian terkini Anwar berlaku di sebalik peningkatan ketara sentimen kebencian dalam talian yang menyasarkan pelarian Rohingya di Malaysia, sebahagian besarnya didorong oleh maklumat salah dan slogan perkauman.
Semakan mendapati sebahagian besar kandungan tersebut dipacu oleh bot dan akaun palsu yang menggunakan ratusan video dijana teknologi AI dengan matlamat menyemai permusuhan terhadap komuniti pelarian dan migran, menyerupai apa yang berlaku di Aceh pada 2023 apabila kempen kebencian dalam talian cuba membangkitkan kemarahan penduduk tempatan supaya mengusir pelarian Rohingya, hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya presiden Indonesia.
Bercakap dalam podcast sama – yang sebelum ini turut memberi ruang kepada suara anti-migran – Anwar mempersoalkan pendirian Malaysia untuk tidak memberikan keabsahan politik kepada junta tentera Myanmar yang selama ini menolak gesaan antarabangsa untuk membenarkan jutaan penduduk Rohingya pulang ke tanah air mereka.
Anwar sebaliknya mendakwa rundingan mampu mengubah pendirian junta itu, sambil mengumumkan undangannya kepada diktator Myanmar, Min Aung Hlaing, untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia.
Menurutnya, junta itu telah bersetuju untuk membenarkan kepulangan 5,000 orang Rohingya, langkah yang dianggap pengkritik akan menyerahkan golongan itu “ke tangan pihak yang menindas mereka”, seperti mana disuarakan oleh Suruhanjaya Kebebasan Beragama Antarabangsa AS, yang memberi amaran bahawa tindakan itu akan “meletakkan nyawa mereka dalam risiko yang amat besar”.
'Sanggup berdamping dengan Israel?'
Latheefa mempersoalkan alasan Anwar meraikan presiden Myanmar itu sebagai satu cara menamatkan kekejaman terhadap rakyatnya yang beragama Islam.
"Menggunakan logik yang apakah beliau sanggup mewujudkan hubungan diplomatik dengan rejim Israel untuk menamatkan kekejaman terhadap rakyat Palestin? Terdapat persamaan ketara dari segi nasib yang menimpa etnik Rohingya dan rakyat Palestin; kedua-duanya mangsa rejim yang dianggap sebagai paria di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, Anwar gagal menunjukkan kepimpinan berlandaskan prinsip moral, sebaliknya “mengulang kata-kata kesat golongan xenofobik dan mereka yang menyebarkan propaganda kebencian kepada orang ramai”.
“Dakwaan yang diulang golongan jahil dan tidak prihatin, bahawa kononnya etnik Rohingya mengancam ekonomi mereka, adalah tidak berasas,” katanya sambil menambah pendirian Anwar menunjukkan beliau kini “menghumban terus segala kepura-puraannya sebagai seorang reformis”.
“Tidak ada reformis yang akan bercakap sedemikian rupa mengenai golongan yang menderita dan melarikan diri daripada penyeksaan serta pembunuhan.
“Rakyat Malaysia yang berakhlak tidak akan bersetuju dengan pendirian Anwar.
“Jika Anwar tidak mengubah pendiriannya berhubung isu Rohingya, sejarah dan generasi akan datang akan mengecam beliau, dan juga negara kita.”
Selama beberapa dekad, pihak berkuasa Myanmar dan gerakan nasionalis yang dipimpin sami ekstremis Buddha cuba menggambarkan Rohingya sebagai orang asing yang tidak sepatutnya berada di negara itu. Mereka berulang kali dilabel sebagai pendatang haram berketurunan Bengali walaupun wujud bukti lama mengenai kehadiran mereka di Arakan, yang kini dikenali sebagai Negeri Rakhine.
Pihak berkuasa Myanmar mewujudkan persepsi bahawa mereka bukan komuniti asli yang mempunyai hak sah, sebaliknya kelompok orang asing yang kehadirannya menimbulkan ancaman kepada negara.
Antara individu yang menyebarkan dakwaan sedemikian ialah Ashin Wirathu, sami ekstremis dan ultra-nasionalis Myanmar yang terkenal dengan retorik anti-Islam yang menghasut orang ramai menyerang umat Islam.
Pada 2016, ketika junta Myanmar sibuk melakukan siri serangan kejam, pembunuhan, keganasan seksual dan pembakaran perkampungan etnik Rohingya, Wirathu meraikan kemenangan pilihan raya Donald Trump dengan menyifatkan dirinya dan Trump sebagai mereka yang “menyekat bahaya Islamisasi”.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
