Kargo menuju Israel tiba di pelabuhan Malaysia, aktivis ingatkan Putrajaya
Kerajaan digesa menghalang terus rantaian bekalan barangan ke Israel di sebalik beberapa insiden yang melanggar dasar negara.
Sayap tempatan pergerakan global memulau Israel mendedahkan kehadiran puluhan kontena membawa bekalan ke entiti Zionis itu yang sedang menuju ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor, hampir sebulan selepas pihak berkuasa memintas penghantaran kargo membabitkan Elbit Systems, firma yang menjadi tunjang industri ketenteraan Israel yang terlibat dalam jenayah perang terhadap rakyat Palestin selama beberapa dekad.
Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia berkata sebanyak 71 kontena kargo yang menuju ke Israel akan berlabuh di PTP, pelabuhan kedua paling sibuk di Malaysia, sambil menambah bahawa “sebahagian besar daripada jumlah itu” sudah pun tiba.
“Penemuan 71 kontena di Tanjung Pelepas sebelum menuju ke Israel yang terlibat dalam genosid mendedahkan rantaian bekalan terancang yang secara langsung menjejaskan solidariti mendalam Malaysia kepada rakyat Palestin dan berpotensi memalitkan negara dalam pembunuhan beramai-ramai,” kata Pengerusi BDS Malaysia, Nazari Ismail.
Pada 7 Ogos, Malaysia menahan sebuah kontena di PTP yang dalam perjalanan ke Israel, susulan amaran aktivis yang bertindak berdasarkan maklumat dibekalkan No Harbour for Genocide, sebuah kempen antarabangsa yang mengesan pergerakan kapal di seluruh dunia dan menyalurkan maklumat kepada pekerja pelabuhan serta pihak berkuasa mengenai penghantaran senjata kepada Israel.
Sejak kempen itu dimulakan pada 2024, ia menyekat penghantaran barangan ke Israel di pelabuhan Sepanyol, Greece, Perancis, Itali, Turki dan Maghribi.
BDS Malaysia memberi amaran tentang kewujudan “rantaian bekalan yang rutin, tetap dan teratur kepada Israel”.
“Ini menjejaskan dasar Malaysia yang bersolidariti dengan rakyat Palestin dan melanggar kewajipan pihak ketiga untuk mengambil semua langkah yang perlu di bawah undang-undang antarabangsa bagi mencegah genosid.”
Tambahnya, tindakan merampas kargo di PTP pada bulan lalu membuktikan penguatkuasaan boleh dilakukan “apabila ada kemahuan politik”.
BDS turut menggesa pelan komprehensif untuk menghalang semua kargo menuju ke Israel dan bukan sekadar tindakan ad hoc.
Penemuan kargo Israel itu merupakan insiden terkini yang dilaporkan kumpulan pro-Palestin, yang bimbang Malaysia terpalit dalam jenayah perang Israel yang mengorbankan lebih 100,000 orang awam di Gaza dalam tempoh tiga tahun.
Beberapa minggu selepas Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada Oktober 2023, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pengharaman semua kapal yang ada kaitan dengan Israel daripada menggunakan kemudahan pelabuhan tempatan.
Beberapa bulan kemudian, aktivis mengesan kapal kargo ZIM Rotterdam milik syarikat Israel, Zim Integrated Shipping Services, yang berlabuh di Pelabuhan Klang pada 29 April 2024 sebelum berlepas sehari kemudian ke Pelabuhan Shantou, China. Ia mencetuskan persoalan mengenai kegagalan menguatkuasakan larangan ke atas kapal Israel.
Pada September 2024, BDS Malaysia menggesa pihak berkuasa menyiasat sebuah syarikat tempatan yang didakwa terlibat dalam penghantaran lapan kontena membawa bahan letupan ke Israel.
Anwar sebelum ini mencetuskan kemarahan aktivis apabila enggan membatalkan perjanjian kontroversi membabitkan penjualan saham dalam syarikat milik kerajaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada sebuah syarikat milik BlackRock, firma gergasi yang berdepan tuduhan bersubahat dengan jenayah perang Israel.
Menurut BDS Malaysia, walaupun ia mengalu-alukan usaha kerajaan menghalang kapal dan kargo menuju Israel daripada menggunakan pelabuhan tempatan, beberapa langkah perlu dilaksanakan bagi memastikan Malaysia tidak dituduh terlibat dalam jenayah perang Israel.
Antaranya, ia menyeru agar semua kontena menuju ke Israel dirampas, serta mewujudkan mekanisme bagi menyekat mana-mana kapal yang membawa kargo ke Israel daripada melalui perairan negara.
“Selain langkah-langkah ini, kami menggesa Malaysia untuk berada di barisan hadapan dalam Kumpulan Hague, yang dibentuk oleh negara-negara dari seluruh dunia, untuk mengambil ‘langkah-langkah perundangan dan diplomatik yang diselaraskan’ terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel, khususnya dengan mengawal penghantaran maritim, bagi memastikan tindakan diambil di peringkat antarabangsa untuk menghalang penghantaran maritim yang membantu genosid, apartheid dan pendudukan haram Israel,” tambahnya.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Artikel Berkaitan
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.
