Syarikat urus eHIS ketika gangguan besar di Hospital Ampang terima kontrak RM29 juta di hospital kerajaan lain
Jumlah perolehan itu kira-kira RM10 juta lebih tinggi daripada kontrak yang diterimanya di Hospital Ampang.
Terkini
Sebuah syarikat yang bertanggungjawab menyelenggara sistem maklumat di Hospital Ampang ketika ia mengalami gangguan besar empat bulan lalu sehingga memerlukan campur tangan pegawai Kementerian Kesihatan telah dianugerahkan kontrak serupa di sebuah lagi hospital kerajaan di Johor.
Semakan di laman web ePerolehan yang membutirkan tender kerajaan menunjukkan bahawa pada 24 Julai, Kementerian Kesihatan menganugerahkan syarikat itu kontrak tiga tahun bernilai RM29.1 juta untuk menyelenggara Sistem Maklumat Hospital (eHIS) di Hospital Sultan Ismail di Johor, nilai yang kira-kira RM10 juta lebih tinggi berbanding kontrak yang diterima pada Februari di Hospital Ampang.
Pemberian kontrak itu dibuat tiga bulan selepas sistem eHIS di bawah penyelenggaraannya di Hospital Ampang mengalami gangguan selama lebih 30 jam, menyebabkan pelbagai kesulitan selama beberapa hari membabitkan pendaftaran masuk pesakit, prosedur ujian darah dan preskripsi ubat, di samping penangguhan rawatan.
Menurut portal kesihatan awam CodeBlue, Hospital Ampang – antara yang terawal memperkenalkan Sistem Maklumat Hospital Bersepadu (THIS) yang sepenuhnya menggunakan komputer – mengalami gangguan sistem lebih 10 kali tahun lepas.
Bagaimanapun, insiden pada 23 April merupakan gangguan besar pertama yang menyebabkan hampir semua urusan tergendala.
“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini; ini adalah kali pertama,” CodeBlue memetik seorang pegawai perubatan yang tidak dinamakan, yang turut merujuk kepada perisian dan perkakasan ( hardware) yang ketinggalan zaman, termasuk komputer yang masih menggunakan sistem Windows XP yang sudah luput.
Kejadian itu memaksa hospital tersebut mengaktifkan pelan kesinambungan bagi memastikan perkhidmatan tidak terganggu, dengan beralih kepada cara manual sementara sistem IT dipulihkan.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, yang melawat hospital itu beberapa hari kemudian, berkata kementeriannya sedang “menyemak semula protokol perolehan untuk mengelak kelompangan transisi tersebut daripada berulang pada masa hadapan”.
Jaminan itu tidak banyak mengurangkan keresahan dalam kalangan kakitangan dan kebimbangan gangguan itu berulang.
Difahamkan pegawai kementerian terpaksa campur tangan untuk mencari penyelesaian semasa keadaan tidak menentu di Hospital Ampang ketika itu.
“Tugas itu mudah. Sekiranya sistem tergendala, apa yang diperlukan ialah mendiagnosis masalah tersebut dan menghubungi prinsipal yang berkaitan untuk menyelesaikannya,” kata sumber industri yang biasa dengan prosedur penyelesaian masalah eHIS.
Dihubungi untuk mendapatkan maklum balas, pengarah urusan syarikat yang terlibat itu mengelak daripada memberikan sebarang komen, dan merujuk perkara itu kepada Kementerian Kesihatan.
Dalam responsnya, Dzulkefly berjanji akan menyemak dengan pihak berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kontrak tersebut.
“Saya mengalu-alukan anda untuk menjalankan siasatan mengenai sebarang pelanggaran atau ketidakpatuhan,” kata menteri kesihatan itu kepada MalaysiaNow.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.
