Kes saman RM1 bilion Menara KL bakal dibicarakan, pemegang konsesi baharu sebagai defendan
Perkembangan itu lebih setahun selepas polis dan agensi penguatkuasaan hadir di menara ikonik itu untuk mengusir bekas pemegang konsesi.
Salah sebuah mercu tanda utama yang dibina ketika pertumbuhan pesat ekonomi era 1990-an kini kembali menjadi tumpuan yang berkisar konsesi dianugerahkan kerajaan, selepas Mahkamah Rayuan minggu ini memutuskan pemegang konsesi baharunya kekal sebagai defendan dalam kes saman RM1 bilion difailkan bekas pemegang konsesi terdahulu.
Menara Kuala Lumpur, menara telekomunikasi ketujuh tertinggi di dunia, menjadi subjek saman oleh HydroShoppe Sdn Bhd dan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) terhadap kerajaan dan tiga syarikat yang menerima konsesi selama 20 tahun sejak tahun lepas untuk menguruskan kompleks tersebut.
Pada 10 Ogos, Mahkamah Rayuan mengembalikan LSH Service Master Sdn Bhd dan dua syarikat lain yang dikaitkan dengan hartawan Lim Keng Cheng sebagai defendan dalam kes itu, sekali gus membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi tahun lepas supaya mereka tidak dinamakan sebagai pihak yang disaman.
Perbicaraan dijadualkan pada 28 Jun hingga 2 Julai 2027.
Perkembangan itu berlaku lebih setahun selepas insiden lewat malam pada April 2026, apabila polis dan pelbagai agensi penguatkuasaan kerajaan hadir di luar Menara Kuala Lumpur bagi mengusir kakitangan HydroShoppe dan MKLSB secara paksa, tidak lama selepas kes saman difailkan untuk mengisytiharkan konsesi baharu terbatal.
Dalam samannya, HydroShoppe mendakwa LSH Capital dan anak syarikatnya mempengaruhi keputusan kerajaan untuk melanggar kontraknya.
Ia mendakwa LSH Capital telah dimaklumkan mengenai keputusan Kementerian Komunikasi untuk memperbaharui konsesi HydroShoppe.
Isu itu kemudian dilanda kontroversi susulan dakwaan kronisme dalam pemberian kontrak kepada LSH Capital, apabila ahli Parlimen pembangkang menyatakan bahawa anak kepada Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof merupakan ahli lembaga LSH Best Builders, salah satu daripada tiga syarikat yang dinamakan dalam saman itu.
Kerajaan bagaimanapun berkata perjanjian konsesi baharu itu diberikan melalui proses tender yang telus.
Asas saman HydroShoppe bermula pada 2021, apabila Telekom Malaysia, yang menyelenggara Menara KL sejak 1996 melalui anak syarikatnya ketika itu, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), memaklumkan kepada kerajaan bahawa ia ingin menumpukan kepada perniagaan terasnya dan tidak dapat terus mengurus menara tersebut berikutan kerugian yang dialami semasa pandemik Covid-19.
Empat bulan kemudian, Kementerian Komunikasi memaklumkan kepada TM mengenai cadangan supaya sahamnya dalam MKLSB diambil alih syarikat lain.
Susulan itu, lima syarikat mengemukakan pelan mereka untuk menguruskan Menara KL, termasuk cadangan pembelian semua saham MKLSB daripada TM.
Pada 1 Ogos 2022, kerajaan melantik HydroShoppe, langkah yang mengekalkan konsesi Menara KL kepada syarikat milik 100% Bumiputera.
Syarikat itu berkata ia dijanjikan konsesi selama 15 tahun sebagai pertukaran untuk mengambil alih keseluruhan pegangan dalam MKLSB.
Ini bermakna HydroShoppe terpaksa menanggung beberapa perbelanjaan, termasuk melangsaikan bayaran tertunggak berjumlah RM3.2 juta, memulangkan wang kepada kontraktor sebanyak RM495,000, serta RM100,000 untuk pembelian saham dalam MKLSB.
HydroShoppe turut menanggung semua liabiliti MKLSB berjumlah lebih RM300 juta.
Selepas perubahan kerajaan pada November 2022, HydroShoppe berkata kerajaan bersetuju ia akan terus kekal mengendalikan operasi Menara KL. Menurutnya, permohonan akan dibuat untuk melanjutkan kontrak daripada 15 kepada 30 tahun.
Pada 5 Januari 2024, HydroShoppe dimaklumkan bahawa konsesinya akan melalui proses tender. Menurutnya, langkah itu diambil meskipun wujud perjanjian dan syarat yang dikenakan oleh HydroShoppe ketika bersetuju mengambil alih MKLSB.
Lima bulan kemudian, pada Mei 2024, kerajaan mengumumkan LSH Service Master diberikan konsesi selama 20 tahun bermula April 2025, menandakan buat kali pertama sebuah syarikat bukan Bumiputera akan mengendalikan Menara KL.
HydroShoppe dan MKLSB kemudiannya memfailkan saman RM1 bilion terhadap kerajaan dan Kementerian Komunikasi, LSH Service Master Sdn Bhd, LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd.
Antara lain, ia berkata Pengarah Urusan HydroShoppe, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, telah dipujuk untuk mengambil alih saham MKLSB, bersama liabilitinya bernilai lebih RM300 juta.
Ketika saman itu masih menunggu proses mahkamah, satu insiden tercetus pada lewat malam 16 April 2025, apabila pemegang konsesi baharu tiba di Menara KL dengan bantuan polis dan pelbagai agensi penguatkuasaan, termasuk dari Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Tanah Persekutuan, untuk mengusir HydroShoppe secara paksa.
Susulan kejadian itu, Menara KL ditutup kepada semua pengunjung selama seminggu. Ia merupakan kali kedua tarikan pelancong itu ditutup sejak siap pada 1996, selepas penutupan ketika pelaksanaan kawalan pergerakan Covid-19.
HydroShoppe mendakwa pihak berkuasa bertindak seperti “samseng” dan membuat laporan polis terhadap LSH, serta menuntut ganti rugi berhubung kerugian harta benda yang berlaku semasa proses pengusiran.
Tindakan pengusiran itu menjadi subjek saman berasingan oleh HydroShoppe, di mana Mahkamah Tinggi membenarkan semakan kehakiman terhadap Pesuruhjaya Tanah Persekutuan Azmi Zain untuk mencabar dua notis pengusiran yang dikeluarkan pada April 2025.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
