PN persoal kronisme, kehilangan pegangan Bumiputera selepas konsesi Menara KL bertukar tangan
Gabungan pembangkang itu berkata penglibatan seorang pengarah dalam syarikat milik LSH Capital Berhad menimbulkan tanda tanya.
Terkini
Perikatan Nasional (PN) hari ini mempersoalkan sama ada keputusan Putrajaya menukar konsesi penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur kepada sebuah syarikat lain didorong oleh amalan kronisme.
Sekumpulan ahli Parlimen PN turut mendedahkan penglibatan seorang individu yang "menggunakan alamat sama dengan pemimpin tertinggi negara" dalam sebuah syarikat yang dimiliki 70% of LSH Service Master Sdn Bhd, firma yang dilantik sebagai pemegang konsesi menara itu susulan insiden pengusiran Hydroshoppe Sdn Bhd pada April lalu.
Beliau merujuk rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) LSH Best Builders Sdn Bhd, yang menyenaraikan Khairunnisa Fadillah sebagai salah seorang pengarah syarikat.
Khairunnisa merupakan anak kepada Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.
Kedua-dua LSH Service Master dan LSH Best Builders dimiliki Lim Seong Hai Capital Bhd, firma yang dimiliki taikun Lim Keng Cheng.
"Kini sudah ada pihak bertanya adakah syarikat pemegang konsesi baharu itu diberikan kontrak kerana mereka ada kaitan dengan pimpinan tertinggi negara," kata Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Katanya, kebimbangan kronisme dalam penganugerahan konsesi Menara Kuala Lumpur diperkuatkan lagi apabila pengurusan tertinggi LSH "secara terbuka" mempamerkan hubungan mereka dengan pemimpin kerajaan dengan memuat naik gambar di media sosial.
Ekuiti Bumiputera
Fathul turut membangkitkan isu pegangan ekuiti Bumiputera dalam operasi Menara Kuala Lumpur yang dikurangkan daripada 100% kepada 30%.
"Langkah ini bercanggah dengan dasar negara khususnya Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035. Perkara ini memberikan impak besar dan mengurangkan perniagaan Bumiputera terutama di kawasan strategik di Segitiga Emas Kuala Lumpur," tambahnya.
Pada Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman berkata isu pengurangan pegangan Bumiputera dalam pengurusan Menara Kuala Lumpur tidak timbul kerana struktur ekuiti syarikat konsesi tertakluk kepada pematuhan keperluan minimum 30% Bumiputera.
Sebelum ini, pelbagai pihak membidas tindakan Putrajaya campur tangan dalam pertikaian konsesi operasi Menara Kuala Lumpur antara Hydroshoppe dan LSH.
Hydroshoppe merupakan syarikat induk Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) yang diketuai oleh Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh.
MKLSB dan Hydroshoppe telah memfailkan tuntutan terhadap kerajaan Malaysia dan LSH Capital, dengan mendakwa ia masih pemegang konsensi pengurusan yang sah sambil berkata Kementerian Komunikasi pada 2022 telah bersetuju melanjutkan konsesi tersebut sehingga 2039.
Tuntutan Hydroshoppe juga berkisar kerugian lebih RM300 juta dalam bentuk liabiliti yang ditanggungnya selepas mengambil alih saham MKLSB pada 2022.
Pada 17 April, pelbagai agensi penguatkuasa menghalang pekerja Hydroshoppe daripada memasuki Menara Kuala Lumpur, antara mercu tanda ikonik yang dikaitkan dengan legasi pembangunan Malaysia di bawah era Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1990an.
Ia disusuli dengan penutupan Menara Kuala Lumpur kepada pelawat selama seminggu, sebelum dibuka semula di bawah pengurusan LSH.
Bebanan tidak adil
Hydroshoppe berkata tindakan pengusiran itu merupakan penghinaan mahkamah kerana kes saman yang masih berjalan.
Rayuan permohonan Hydroshoppe untuk memulakan prosiding hina mahkamah terhadap Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, kerajaan Malaysia dan LSH akan didengar pada 4 September.
Sementara itu, Fathul berkata penyerapan saham Telekom Malaysia oleh Hydroshoppe mengakibatkan liabiliti tinggi.
Bagaimanapun, katanya, konsesi kepada LSH diberikan tanpa perlu menyerap liabiliti tersebut.
"Maksudnya, Hydroshoppe terpaksa menanggung hutang yang ditinggalkan, dan ini merupakan satu bebanan yang tidak adil."
Tambahnya, aset milik Hydroshoppe masih berada di Menara Kuala Lumpur dan tidak dipulangkan.
Fathul mengingatkan kerajaan supaya tidak cuba mengelak daripada persoalan yang ditimbulkan, sebaliknya mencari penyelesaian.
Menurutnya, kerajaan selama ini sekadar menjawab pertanyaan mengenai Menara Kuala Lumpur secara bertulis tanpa peluang berbahas.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
