'Syurga digital' diasaskan taikun pro-Israel cetus kontroversi, MB Johor gesa Putrajaya siasat
Network School diilhamkan ahli perniagaan pro-Israel Balaji Srinivasan pernah mendapat sokongan seorang menteri Malaysia.
Terkini
Kerajaan Johor menggesa Putrajaya menyiasat sebuah pusat yang menghimpunkan usahawan digital di Forest City yang dikaitkan dengan seorang ahli perniagaan pro-Israel, ekoran dakwaan ia menjadi lubuk warganegara Israel untuk berpangkalan di negara ini, sekali gus melanggar dasar imigresen dan diplomatik Malaysia terhadap negara Zionis itu.
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menggesa agensi persekutuan termasuk Kementerian Dalam Negeri, imigresen, polis dan kastam memulakan siasatan menyeluruh terhadap Network School, yang sebelum ini pernah mendapat sokongan daripada seorang menteri kerajaan.
"Saya menegaskan bahawa kerajaan negeri Johor tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan negeri ini sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan dan kepentingan Johor serta Malaysia," kata Onn, yang minggu lalu mendapat mandat besar untuk terus memimpin negeri itu susulan kemenangan pilihan raya.
Walau bagaimanapun, kempen pilihan raya negeri baru-baru ini tidak menyaksikan mana-mana pihak membangkitkan isu Network School, yang sudah tentu akan menghala perhatian terhadap pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang sejak beberapa tahun berusaha membawa imej pro-Palestin bagi menangkis dakwaan kerajaan terpalit jenayah perang kerana membawa masuk pelaburan firma yang rapat dengan Israel.
Ia meskipun Network School ditubuhkan hampir dua tahun lalu, berkembang daripada pusat sementara kepada sebuah komuniti tetap yang kini menempatkan ratusan penghuni dari seluruh dunia, dengan bayaran yuran bulanan bermula dari RM6,000 untuk penginapan dan pelbagai kemudahan lain.
Di tengah-tengah kontroversi menyelubungi Network School ialah pengasasnya, Balaji Srinivasan, seorang usahawan Amerika berketurunan India yang giat mempromosikan konsep "Tech Zionism".
Beliau mengimpikan sebuah "negara digital" untuk menghimpunkan firma teknologi "start-up" dan menyediakan pusat pemukiman untuk komuniti teknologi, dengan urus tadbir sendiri dan dipacu oleh mata wang digital.
Selain itu, Network School menawarkan siri ceramah oleh usahawan digital yang kebanyakannya pro-Israel, seperti Vitalik Buterin, pengasas syarikat mata wang digital Ethereum, dan Brian Armstrong, CEO firma mata wang kripto Coinbase yang memiliki pelaburan besar di Israel.
Usahawan dan jurucakap lain yang mempunyai kaitan politik dan perniagaan dengan Israel termasuk Ben Horowitz, Bryan Johnson dan Anatoly Yakovenko, di samping puluhan lagi yang dipaparkan di laman web Network School.
Bagaimanapun, terdapat juga beberapa individu yang mengambil pendirian membantah genosid Israel di Gaza, seperti usahawan teknologi keturunan Arab-Amerika, Amjad Masad dan wartawan Glenn Greenwald.
Amjad pernah mendedahkan bagaimana beliau membayar harga yang mahal kerana sikap lantangnya terhadap Israel.
"Apabila saya mula-mula bersuara tentang pembunuhan beramai-ramai itu, saya antara segelintir dalam sektor teknologi, dan ia dibayar dengan kos yang tinggi.
"Ia menyakitkan, tetapi saya tidak pernah menyesal membela kanak-kanak di Gaza," katanya tahun lalu.
Pertanyaan MalaysiaNow kepada Network School melalui WhatsApp setakat ini belum menerima sebarang respons.
Sebelum ini, Srinivasan dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan ahli politik Malaysia bagi mendapatkan sokongan kerajaan untuk projek beliau.
Pada 13 Mei, Bloomberg memetik sumber yang berkata bahawa Srinivasan meminta Menteri Digital Gobind Singh Deo "untuk mempertimbangkan hubungan yang lebih erat antara kerajaan dan Network School".
Namun, yang lebih menimbulkan persoalan ialah Srinivasan juga dilaporkan mengemukakan prototaip sebuah platform permohonan visa memasuki Malaysia, yang bertujuan meluluskan visa dengan pantas demi kemudahan penghuni Network School, membolehkan mereka tinggal lebih lama berbanding visa pelawat.
Sebulan sebelum itu, pada 17 April, Gobind melawat Network School dan turut bergambar bersama Srinivasan.
"Apa yang saya lihat mengesahkan semula kedudukan Malaysia sebagai destinasi yang semakin meningkat untuk bakat teknologi global," tulis pengerusi DAP itu di X. Hantaran itu bagaimanapun dibalas dengan pelbagai kritikan sebelum diturunkan.
Ini bukan kali pertama kontroversi menimpa Forest City, projek yang dirancang sebagai "bandar hijau" futuristik di empat pulau buatan manusia dan dibangunkan oleh pemaju China, Country Garden Holdings Company, dalam usaha sama dengan beberapa syarikat milik Sultan Johor.
Lihat berkaitan:
Galeri: The ghost town of Forest City
Video: No one home at Forest City
Projek tersebut dibantah keras bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang sejurus selepas kembali berkuasa pada 2018 mengharamkan warga asing daripada membeli hartanah di Forest City.
Tidak lama kemudian, krisis Covid-19 ditambah langkah Beijing menyekat aliran keluar dana oleh rakyatnya memberi kesan besar kepada Forest City yang bergelut menarik pembeli hartanah dari China.
Pada 2023, Anwar mengumumkan Zon Kewangan Khas (SFZ) dalam usaha menjenamakan semula Forest City yang menerima jolokan “bandar berhantu”.
Lapan bulan kemudian, Bloomberg melaporkan perdana menteri dan dua tokoh perniagaan tempatan pernah membincangkan rancangan membangunkan sebuah kasino di Forest City.
“Anwar, pegawai kanan kerajaan dan beberapa ahli perniagaan mengadakan mesyuarat makan tengah hari mengenai kemungkinan meluluskan lesen untuk kasino kedua Malaysia,” menurut laporan itu, yang menamakan Vincent Tan dari Berjaya dan Lim Kok Thay dari Genting.
Anwar menafikan laporan itu, menyifatkannya sebagai “tak betul” dan “tipu”, walaupun tidak menyatakan sama ada beliau akan meminta laporan itu ditarik balik. Artikel tersebut masih tersedia di Bloomberg.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
