- Iklan -
Berita

Selepas kecoh isu LRT3, orang kuat Najib persoal ‘kematian mengejut’ saksi kes Guan Eng

Eric See-To mempersoalkan pemimpin DAP yang menurutnya tidak pernah bersuara mengenai kematian Ewe Swee Kheng, seorang pemaju yang dinamakan sebagai saksi dalam kes melibatkan projek terowong dasar laut.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Pengarah Urusan Ewein Bhd Ewe Swee Kheng (dua dari kiri) bergambar bersama menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng dan beberapa ahli perniagaan Pulau Pinang dalam sebuah majlis penyerahan sumbangan Tabung Harapan pada 2018.
Pengarah Urusan Ewein Bhd Ewe Swee Kheng (dua dari kiri) bergambar bersama menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng dan beberapa ahli perniagaan Pulau Pinang dalam sebuah majlis penyerahan sumbangan Tabung Harapan pada 2018.

Peristiwa kematian seorang pemaju hartanah terkemuka Pulau Pinang lima tahun lalu kini dibangkitkan ketika media sosial menyaksikan perdebatan berterusan antara penyokong DAP dan penyokong Najib Razak, apabila seorang jurucakap bekas perdana menteri yang dipenjarakan itu mempersoalkan sikap Pakatan Harapan yang menurutnya masih membisu mengenai insiden tersebut.

Ewe Swee Kheng sepatutnya memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan Penasihat DAP Lim Guan Eng.

Bagaimanapun, beliau jatuh dari tingkat 17 sebuah pangsapuri mewah dan mayatnya ditemui di dalam kolam renang pada awal pagi 5 Oktober 2021.

Polis menolak sebarang unsur jenayah dan mengklasifikasikan kejadian itu sebagai “kematian mengejut”.

Namun Eric See-To, antara jurucakap Najib yang paling aktif di media sosial, berkata insiden itu telah mencetuskan banyak persoalan yang belum terjawab.

Eric See-to.
Eric See-to.

“Tempoh kempen PRN Johor 2026 adalah peluang paling terbaik untuk tuntut penjelasan daripada mana-mana [pemimpin] PH yang datang lawat untuk minta undi. Gunakan peluang ini untuk tuntut PH buka mulut berkenaan kes ini jika kamu mahu mencari kebenaran, percaya pada keadilan, mahu rasa lebih selamat dalam negara ini dan tolak rasuah,” kata Eric.

Seruan itu dibuat di tengah-tengah perdebatan sengit di media sosial mengenai laluan LRT3 Shah Alam yang baru dilancarkan, antara projek era pemerintahan Najib yang pernah dikaji semula oleh Lim ketika menjadi menteri kewangan dalam pentadbiran PH yang pertama.

Perbincangan di media sosial semakin rancak selepas Sultan Selangor mengeluarkan kenyataan mengkritik Lim dan bekas pegawai khasnya, Tony Pua, kerana mempersoalkan projek itu walaupun ia didakwa memberi manfaat kepada rakyat negeri itu.

Merujuk kepada peruntukan yang dikurangkan oleh Lim pada 2018, yang turut menyaksikan saiz projek asal dikecilkan, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata kedua-dua pemimpin DAP itu “tidak memahami tujuan pembinaan projek LRT3 ini demi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat”.

Susulan itu, Lim dan Pua mempertahankan keputusan mereka, dengan mendakwa ia menjimatkan dana awam sebanyak RM9.7 bilion sambil menafikan bahawa projek itu pernah dihentikan.

“Kami ingin menegaskan semula bahawa penjimatan kepada Kerajaan Malaysia ini tidak dibuat dengan mengorbankan jumlah penumpang dan fungsi LRT. Penjimatan ini sebaliknya membolehkan Kerajaan semasa dan Kerajaan pada masa hadapan memperuntukkan semula dana kepada manfaat kebajikan lain untuk rakyat serta perbelanjaan pembangunan,” kata mereka.

Penyokong dan tentera siber DAP memuji keputusan pemotongan kos dengan alasan ia sebahagian daripada langkah ketelusan dan membanteras rasuah dalam projek era Najib.

Sebagai reaksi, Eric membangkitkan semula kematian Ewe dengan mempersoalkan mengapa tiada pemimpin PH atau DAP yang bercakap mengenainya.

“Kenapa? Sebab semakin banyak mereka bercakap, semakin banyak soalan tidak selesa akan terbuka,” katanya.

Menurut Eric, Ewe bukan “saksi biasa” dalam perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang, di mana Lim menghadapi tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri untuk menerima habuan daripada projek itu.

Eric merujuk kelulusan “sangat pantas” dalam penjualan beberapa bidang tanah kepada firma Ewe oleh Consortium Zenith BUCG, syarikat khas yang diwujudkan pada 2012 untuk Projek Terowong Dasar Laut dan Tiga Jalan Utama Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Pada Mac 2022, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Nazri Mansor, membacakan rakaman percakapan terakhir yang disediakan Ewe dua bulan sebelum kematiannya.

Dalam kenyataannya, Ewe menceritakan bagaimana dia menjanjikan Lim ganjaran wang tunai dan unit hartanah dalam projek “City of Dreams” sebagai balasan mendapatkan tanah kerajaan.

Ewe turut dipetik berkata bahawa Lim membantu memastikan kelulusan pantas untuk semua aspek berkaitan tanah tersebut, sambil menyatakan beliau mahu mendedahkan kebenaran.

Nazri juga memetik Ewe sebagai meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan dirinya kerana pendedahannya kepada SPRM.

Sementara itu, Eric membangkitkan beberapa persoalan lain yang menyelubungi kematian Ewe.

“Laporan awal polis menyebut tiada alkohol atau dadah ditemui dalam bedah siasat. Tiada nota bunuh diri. Tiada sejarah kemurungan atau penyakit mental dilaporkan. Keluarga juga dikatakan memberitahu bahawa beliau berkelakuan normal sebelum kejadian,” kata Eric.

“Saya juga tidak nampak sebarang laporan polis terbuka yang mengatakan beliau berada di bawah tekanan hutang atau masalah kewangan. Malah, sebagai antara pemaju hartanah utama di Pulau Pinang ketika zaman hartanah sedang rancak, beliau bukan orang susah.”

Kontroversi lain

Sepanjang 22 bulan sebagai menteri kewangan, Lim menjadi sasaran berkait pelbagai kontroversi lain, di samping isu LRT3 dan kematian Ewe.

tonypua-guaneng_2018Tindakannya memotong kos pembinaan LRT3 juga bukan satu-satunya isu yang mana pemimpin DAP itu dituduh menghalang peruntukan kritikal atas nama penjimatan.

Dua bulan selepas Maszlee Malik meletak jawatan sebagai menteri pendidikan pada 2020, bekas pembantunya menuduh Kementerian Kewangan di bawah Lim menafikan peruntukan dana bagi perkhidmatan keselamatan sekolah.

Zul Fikri Zamir juga mendakwa bahawa dalam sebuah mesyuarat di Kementerian Kewangan yang dihadiri Maszlee, Lim dan pegawai tertinggi kedua-dua kementerian, salah seorang yang hadir mengucapkan kenyataan menghina mengenai permohonan peruntukan untuk membayar perkhidmatan pengawal keselamatan oleh sekolah.

“Jaga sekolah ni tak perlulah ramai-ramai. Sekolah-sekolah kampung carilah ‘volunteer’ (sukarelawan), mak bapa yang tak ada kerja tu boleh volunteer,” tulis Zamir, memetik individu yang tidak dinamakan itu.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan oleh dua pegawai DAP, yang menuduh Zamir cuba mencetuskan ketegangan kaum.