- Iklan -
Berita

Selepas Fahmi 'lari', Albert Tei teruskan usaha tuntut penjelasan TikTok disekat

Surat peguam akan dihantar selepas empat kali gagal bertemu menteri komunikasi itu di pejabatnya.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Aktivis mengangkat sepanduk menunjukkan keratan berita mengenai janji Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mempertahankan kebebasan bersuara, semasa sidang akhbar oleh Albert Tei dan peguamnya, Mahajoth Singh.
Aktivis mengangkat sepanduk menunjukkan keratan berita mengenai janji Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mempertahankan kebebasan bersuara, semasa sidang akhbar oleh Albert Tei dan peguamnya, Mahajoth Singh.

Aktivis lantang Albert Tei mengulangi tuntutannya untuk mendapatkan penjelasan daripada Fahmi Fadzil mengenai tindakan memadam akaun TikToknya, selepas empat kali gagal bertemu dengan menteri komunikasi tersebut.

Tei sebelum ini berkata Fahmi sering mengelaknya, termasuk dalam satu insiden minggu lalu apabila menteri itu menggunakan pintu masuk belakang untuk mengelak kumpulan aktivis yang hadir di lobi Kementerian Komunikasi.

Fahmi Fadzil.
Fahmi Fadzil.

Insiden pada 5 Jun itu dirakam Tei dan disiarkan di akaun TikTok dan Facebooknya yang dipanggil "Reformati", sehingga tular dan meraih berjuta-juta tontonan.

Klip tersebut menunjukkan Tei dan sekumpulan aktivis tiba di lobi kementerian di Putrajaya, dalam percubaan keempat untuk mengadakan pertemuan dengan Fahmi berkenaan sekatan terhadap akaun media sosialnya yang masih belum dijelaskan pihak berkuasa.

Pegawai kementerian kemudian memaklumkan kepada Tei bahawa Fahmi tiada di pejabat, dan kenderaan beliau juga didapati tiada lagi di perkarangan bangunan.

Situasi itu mencetuskan kemarahan Tei, yang bertindak menjerit "pengecut" dan "tikus", sambil mendakwa Fahmi menyelinap keluar dari bangunan kerana tidak berani berdepan dengannya.

Albert Tei di lobi Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada 5 Jun 2026 selepas mengetahui kehadiran Fahmi Fadzil, tetapi mendapati menteri itu telah meninggalkan bangunan menerusi 'pintu belakang'.
Albert Tei di lobi Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada 5 Jun 2026 selepas mengetahui kehadiran Fahmi Fadzil, tetapi mendapati menteri itu telah meninggalkan bangunan menerusi 'pintu belakang'.

"Dia lari ikut pintu belakang. Saya hanya masuk 10 minit, saya dimaklumkan oleh pegawai di sana bahawa dia minta pemandunya bawa kereta ke basement, bawa dia lari. Apakah ini menteri komunikasi?" kata Tei hari ini.

Tei kini mendapati akaun TikTok keduanya turut disekat, dan yakin ia bukan tindakan TikTok kerana video masih boleh diakses menggunakan rangkaian peribadi maya (VPN), yang membenarkan akses kepada kandungan yang tertakluk kepada penapisan kerajaan.

"Akaun itu terus hilang. Tidak dapat diakses di Malaysia. Namun boleh kelihatan bila menggunakan VPN. Apa maksudnya? Kandungan video saya tidak melanggar syarat TikTok."

TikTok merupakan antara tiga platform media sosial – selain WeChat dan Telegram – yang bersetuju dengan peraturan pelesenan baharu yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), agensi yang dikawal Fahmi.

Tei bertegas untuk mendapatkan penjelasan kerajaan.

"Apa kesalahan saya? Kenapa sekat akaun TikTok saya tanpa notis? Tanpa amaran?

"Jika saya buat salah, sama ada sebarang kata-kata yang saya keluarkan, dalam bentuk fitnah atau hasutan, sila siasat saya, tangkap saya, tuduh saya di mahkamah. Biar mahkamah yang menentukan adakah saya salah atau benar," katanya.

Peguam Tei, Mahajoth Singh, berkata surat akan dihantar kepada SKMM serta TikTok dan Meta untuk penjelasan berhubung sekatan akaun media sosial anak guamnya.

Tei berkata Fahmi tidak mempunyai kuasa menyekat akaun media sosial mana-mana individu yang mengkritik kerajaan.

"Dia tiada pun punca kuasa untuk menyekat akaun, mana-mana sosial media akaun, sesiapa rakyat di Malaysia. Saya amat kecewa dengan perkara tersebut. Dalam masa satu bulan, dua kali, dia sekat akaun TikTok saya.

"Perangai ini memang kurang ajar, memang jahat. Lebih teruk daripada sistem komunis. Komunis pun tidak sampai begitu."

Tei adalah antara pengguna media sosial yang tidak disenangi kerajaan, sehingga menyebabkan peningkatan bilangan akaun yang disekat SKMM.

Pada April, pempengaruh terkemuka Syarul Ema Rena Abu Samah, lebih dikenali sebagai Ratu Naga,  hadir di luar ibu pejabat SKMM selepas dipanggil untuk disoal siasat kerana berkongsi laporan berita.

Ratu Naga turut mengecam Fahmi dan Pengerusi SKMM, Salim Fateh Din, serta mencabar mereka untuk mendakwanya di mahkamah.

"Kalau saya cakap silap, saman saya, tapi apa yang kau buat, kau gunakan SKMM, kau gunakan polis untuk mengganggu hidup saya.

"Kau ingat polis dan SKMM tak ada kerja lain ke? Mereka pun ada kerja, nak pantau scammer, polis pula dengan jenayah yang tinggi," katanya sambil menunjukkan laporan perubatan mengenai kesan mental yang disebabkan oleh pelbagai tindakan SKMM terhadapnya.