Mahkamah arah Farhash bayar kos selepas permohonan halang MalaysiaNow dibatalkan
Bekas pemimpin PKR yang kini tokoh korporat itu beberapa kali cuba mendapatkan perintah injunksi terhadap portal berita tersebut.
Terkini
Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan Farhash Wafa Salvador membayar kos RM10,000 kepada MalaysiaNow selepas bekas pemimpin PKR itu membuat keputusan saat akhir untuk tidak meneruskan permohonannya menghalang portal berita tersebut daripada terus melaporkan skandal lesen perlombongan Sabah.
Farhash, bekas setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bersama rakan niaganya Aminuddin Mustapha, memfailkan saman fitnah terhadap MalaysiaNow berhubung laporan portal itu mengenai permohonan syarikat mereka, Bumi Suria Sdn Bhd, untuk mendapatkan lesen cari gali mineral meliputi kawasan hutan simpan yang luas di Sabah.
Susulan itu, plaintif turut membuat permohonan menghalang MalaysiaNow daripada menerbitkan artikel berkaitan laporan tersebut. Permohonan itu bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada September 2025.
Dalam keputusannya, hakim berkata tidak timbul keperluan untuk injunksi sementara kerana "pembelaan yang dikemukakan bukanlah tidak benar secara terang-terangan".
Selanjutnya, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, di mana panel tiga hakim terdiri daripada Hashim Hamzah, Azizul Azmi Adnan dan Ong Chee Kwan, menjelaskan mahkamah tidak akan menyimpang daripada prinsip komen adil dan keistimewaan bersyarat.
Percubaan ketiga menghalang MalaysiaNow sepatutnya didengari di Mahkamah Rayuan hari ini. Bagaimanapun, peguam Farhash memaklumkan mereka telah diarahkan untuk menarik balik rayuan tersebut dengan alasan permohonan itu bersifat "redundant" (tidak lagi diperlukan).
"Mahkamah diberitahu bahawa tindakan plaintif dalam meneruskan dan seterusnya menarik balik rayuan tersebut telah mengakibatkan perbelanjaan dari segi masa dan kos guaman yang besar dan sia-sia," kata Raj & Sach, firma guaman mewakili MalaysiaNow.
MalaysiaNow diwakili peguam Rajesh Nagarajan dan Amanda Sonia Mathew, manakala plaintif diwakili Rajan Navaratnam, Sheena Stephanie Sebastian dan Ezryl Azlyzan Ahmad Damanhuri.
Pada 21 Julai tahun lalu, MalaysiaNow mendedahkan dokumen dan rakaman audio menunjukkan bagaimana Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, semasa mesyuarat Sabah Minerals Management (SMM), meluluskan permohonan Bumi Suria untuk lesen cari gali meliputi 70,000 hektar di hutan simpan Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan – kawasan yang hampir tiga kali ganda saiz Kuala Lumpur.
Laporan itu mendedahkan permohonan Bumi Suria disahkan pada 21 Mei 2024, hanya dua minggu selepas Farhash dan Amin mengambil alih syarikat tersebut.
SMM, agensi pelesenan mineral negeri yang dipengerusikan Hajiji sendiri, kini terpalit skandal rasuah melibatkan ahli politik kanan kerajaan susulan siri rakaman video didedahkan ahli perniagaan Albert Tei, yang menunjukkan beberapa Adun Sabah membincangkan bayaran mencecah jutaan ringgit.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
