Pegawai itu ialah Azam Baki, kata Albert Tei dakwa diugut jangan dedah skandal mineral Sabah
Bekas ketua SPRM itu menolak dakwaan tersebut, sebaliknya berkata Albert Tei perlu membuat laporan polis, bukan 'menyalak seperti anjing'.
Terkini
Pendedah maklumat di sebalik beberapa klip video mengejutkan mengenai skandal lesen mineral Sabah hari ini menamakan Azam Baki sebagai pegawai yang mengugutnya, sehari selepas beliau menamatkan tempoh enam tahun penuh kontroversi sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Albert Tei hadir di ibu pejabat SPRM hari ini dengan membawa bukti dan dokumen berupa pesanan teks serta rakaman yang menyokong dakwaannya.
Tei berkata beliau mengambil keputusan menamakan Azam sekarang kerana sebelum ini bimbang dengan tindak balas Azam ketika masih mengetuai SPRM.
"Ketika itu saya tidak berani melaporkan perkara ini kepada pihak polis atau sesiapa kerana saya takut sebarang tindak balas daripada beliau, sebab ketika itu beliau memegang jawatan ketua pesuruhjaya SPRM dan mempunyai kuasa serta pengaruh untuk menganiaya saya," kata Tei.
Menurutnya, pada 20 Januari 2025, peguam yang mewakilinya ketika itu bertemu Azam di ibu pejabat SPRM.
"Azam minta surat jaminan daripada peguam saya. Jika ahli politik Sabah memulangkan wang saya, bahawa saya tidak akan bangkit lagi isu ini. Dan beliau mengesyorkan kepada peguam supaya jangan keluarkan sebarang kenyataan, dan SPRM akan keluarkan kenyataan bahawa kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak pendakwa raya, dan lepas itu saya jangan keluarkan sebarang kenyataan," katanya.
Tei menuduh Azam bersekongkol dengan ahli politik Sabah untuk menutup dakwaan rasuah terhadap mereka.
"Bekas ketua pesuruhjaya SPRM adalah pengkhianat negara," tambahnya.
Ketika dihubungi MalaysiaNow, Azam menolak dakwaan terbaru terhadapnya dan berkata beliau tidak pernah bertemu Tei.
"Jika dia berani, buat laporan polis dan bukannya menyalak seperti anjing," kata Azam dalam pesanan teks ringkas.
Tei berkata beliau sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Putrajaya dan akan melampirkan dokumen serta bukti untuk menyokong dakwaannya.
Diancam 'pegawai berpangkat tinggi'
Pada Disember 2024, Tei mendedahkan siri klip video yang dirakamnya secara rahsia, menampilkan beberapa ahli politik kerajaan Sabah membuat pengakuan kepadanya bahawa mereka menerima habuan sebagai balasan membantu meluluskan lesen perlombongan mineral.
Kira-kira 15 klip tersebut turut memalitkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan menteri-menteri kanan Sabah.
Akhir tahun lalu, Tei mendedahkan bahawa rancangan untuk merakam video tersebut diilhamkan oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin, bekas setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang meletak jawatan susulan skandal rasuah yang menggegarkan Pejabat Perdana Menteri.
Tei turut mendedahkan beliau telah membelanjakan hampir RM630,000 untuk Shamsul dengan harapan ahli politik PKR itu akan membantunya berunding dengan Hajiji bagi mendapatkan semula wang yang dibayarnya kepada ahli politik Sabah.
Tahun lalu, peguam Tei, Mahajoth Singh berkata anak guamnya pertama kali menghubungi SPRM dengan bukti video skandal itu pada Oktober 2024, tetapi diberi amaran oleh seorang "pegawai sangat kanan" agar tidak mendedahkannya.
"Dia telah diberi amaran jelas untuk tidak meneruskan laporannya. Menurut anak guam saya, amaran ini datang daripada individu yang kedudukannya sangat tinggi," kata Mahajoth pada Julai 2025.
Susulan itu, timbalan menteri undang-undang M Kulasegaran menggesa Tei membuat laporan polis dan mendedahkan identiti pegawai SPRM yang mengugutnya.
Selepas video-video itu mula didedahkan pada November 2024, pelbagai pihak termasuk aktivis anti-rasuah menggesa Azam dan SPRM melancarkan siasatan, sambil menyeru agar individu yang mendedahkan skandal itu diberikan perlindungan sebagai pemberi maklumat atas dasar keselamatannya terancam.
Peguam Tei ketika itu turut menulis surat kepada Anwar mendesak agar Tei dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat. Permohonan itu bagaimanapun ditolak perdana menteri.
'Saya tahu anak guam kamu ialah Albert Tei'
Tei hari ini mendakwa, susulan pendedahan video tersebut pada November 2024, Azam menghubungi peguamnya ketika itu dan menuntut agar Tei tidak meneruskan tindakannya.
"Pada 10 Nov 2024, Azam Baki menelefon peguam saya ketika itu dan memberitahu, 'Saya tahu anak guam kamu ialah Albert Tei. Jika dia mendedahkan skandal rasuah ini dan membuat aduan rasmi di SPRM, saya (Tei) adalah orang pertama yang akan ditangkap dahulu. Ini adalah kenyataan daripada Azam Baki," kata Tei.
Menurut Tei, Azam juga mencadangkan agar Tei bercuti selama dua minggu di luar negara dan supaya dia menarik balik video-videonya dengan memberikan alasan perkara itu merupakan "salah faham".
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
