- Iklan -
Berita

'Kewarganegaraan Turki dan hantar wang ke Afrika': Polis digesa siasat dakwaan wanita terhadap Anwar, Farhash

Aktivis dan pendedah maklumat Albert Tei mempersoalkan perdana menteri dan bekas pembantunya kerana masih tidak mengambil tindakan saman terhadap Sofia Rini Buyong.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Polis digesa menyiasat beberapa "dakwaan serius" terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya yang kini ahli perniagaan jutawan, Farhash Wafa Salvador, hampir dua minggu selepas sebuah klip video tersebar di media sosial memaparkan seorang wanita yang terpalit dengan skandal rasuah melibatkan Pejabat Perdana Menteri lebih lima bulan lalu.

Dalam laporan polisnya hari ini, aktivis dan pendedah maklumat terkenal Albert Tei, yang merakam video perbualannya pada November lalu dengan Sofia Rini Buyong, turut mempersoalkan Anwar dan Farhash kerana masih tidak mengambil tindakan mahkamah untuk membersihkan nama daripada tuduhan serius terhadap mereka.

"Dua minggu telah berlalu tetapi Anwar Ibrahim dan Farhash Wafa Salvador tidak membuat laporan polis mahupun menyaman sivil terhadap Sofia Rini Buyong atas pelbagai tuduhan fitnah," kata Tei dalam laporannya.

"Jika tuduhan yang dibuat oleh Sofia Rini Buyong tidak mempunyai asas dan berniat jahat, maka perbuatannya merupakan kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574)."

Albert Tei.
Albert Tei.

Bercakap kepada pemberita, Tei memberitahu bahawa Sofia dalam rakaman itu mendakwa lawatan Anwar ke Afrika pada tahun lalu adalah untuk memindahkan sejumlah wang, selain mendakwa Farhash telah mendapat taraf kewarganegaraan Turki.

Anwar telah menafikan dakwaan tersebut dan berkata tidak akan melayan tuduhan tanpa bukti.

Tei sebelum ini mengesahkan klip berdurasi 49 saat yang muncul pada 22 April itu merupakan sebahagian daripada rakaman video di tengah-tengah skandal rasuah melibatkan bekas pembantu Anwar, Shamsul Iskandar Mohd Akin, di mana Sofia mendedahkan bahawa Tei telah memberi Shamsul pelbagai barangan dan wang tunai.

Video itu dirakam oleh Tei tanpa pengetahuan Sofia.

Sejak 25 November tahun lalu, beberapa klip daripada pertemuan yang sama antara Tei dan Sofia telah disebarkan, di mana wanita tersebut dilihat bersetuju dengan dakwaan Tei mengenai hadiah dan wang tunai bernilai RM630,000 yang dibelanjakan untuk Shamsul.

Wanita itu turut menamakan Anwar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki, sebagai individu yang terlibat dalam rancangan merakam secara rahsia beberapa ahli politik kerajaan Sabah mengaku menerima sogokan sebagai pertukaran meluluskan lesen mineral.

Dalam satu lagi klip, Sofia mendakwa Anwar telah mengarahkan Shamsul untuk mengeluarkan surat sokongan pada 2024 kepada enam kontraktor bagi pembinaan sebuah projek hospital kerajaan.

Pada 25 November, Shamsul meletak jawatan sebagai setiausaha politik Anwar, hari yang sama rakaman perbualan Tei dan Sofia didedahkan.

Susulan itu, Sofia menafikan semua kenyataan yang diakuinya dalam rakaman perjumpaannya bersama Tei.

Tiga hari kemudian, pegawai SPRM lengkap bersenjata dan bertopeng menahan Tei selepas memecah masuk rumahnya di Puchong.

Tei dan Shamsul kemudiannya didakwa dengan empat pertuduhan memberi dan menerima suapan bernilai RM176,829.03, sementara Sofia dinamakan sebagai saksi utama pihak pendakwa.

Tei mula dikenali sejak akhir tahun 2024 apabila mendedahkan beberapa klip video yang dirakam secara rahsia menunjukkan ahli politik pemerintah Sabah membuat pengakuan menerima rasuah sebagai sogokan mendapatkan lesen mineral.

Tei berkata dia diarahkan membuat rakaman rahsia itu selepas menghubungi Shamsul bagi mendapatkan bantuannya berunding dengan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor supaya wang yang dibayar oleh Tei kepada beberapa Adun dari GRS dikembalikan.

Katanya, dalam usaha mendapatkan kerjasama Shamsul, dia membelanjakan hampir RM630,000 untuk orang kuat Anwar itu.