- Iklan -
Berita

Malaysia merosot dalam indeks kebebasan media di sebalik tindakan Putrajaya mengekang wartawan, internet

Penilaian itu dilihat sebagai tamparan kepada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika pengkritik kerajaan menjadi sasaran.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Portal berita dalam talian dan hantaran media sosial terus menjadi sasaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan menggunakan pelbagai undang-undang menyekat kebebasan media.
Portal berita dalam talian dan hantaran media sosial terus menjadi sasaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan menggunakan pelbagai undang-undang menyekat kebebasan media.

Edisi terkini Indeks Kebebasan Media Sedunia menyaksikan Malaysia jatuh tujuh anak tangga, daripada tempat ke-88 tahun lalu ke kedudukan ke-95, penilaian yang diterbitkan ketika pihak berkuasa terus meningkatkan halangan terhadap media dan kandungan dalam talian yang tidak disenangi kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Reporters Without Borders (RSF), yang menerbitkan indeks tahunan menilai kebebasan media dan kewartawanan di 180 negara, memberikan Malaysia markah keseluruhan 52.73, lebih rendah daripada 56.09 tahun lalu, sementara ia kekal dalam kategori yang ditakrifkan"situasi bermasalah".

Indeks 2026 berdasarkan pemerhatian landskap media sepanjang tahun lalu, yang menyaksikan kekangan berterusan terhadap kritikan dalam talian serta siasatan polis terhadap agensi berita kewangan Bloomberg berikutan pendedahan mengejutkan mengenai salah guna kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Indeks kali ini muncul hanya tiga hari selepas tindakan polis menyerbu rumah wartawan portal Malaysiakini, B Nantha Kumar, berhubung laporan beliau mengenai keputusan kerajaan menggunakan sistem kontroversi pengambilan pekerja asing.

Penilaian terkini ini juga setahun selepas pengkritik dan pengamal media tempatan mempersoalkan lonjakan mendadak Malaysia dalam indeks 2025, di mana Malaysia diletakkan pada tempat ke-88 selepas prestasi buruk tahun 2024.

Kemerosotan prestasi Malaysia pada 2024 itu umumnya dilihat sebagai bukti kegagalan Anwar melaksanakan reformasi yang dijanjikan sepanjang tahun pertama berkuasa.

mediaIndex_2026_RSFDi rantau Asean, kedudukan Malaysia hanya satu anak tangga di atas Brunei, manakala Malaysia jauh di belakang Timor Timur (ke-30) dan Thailand (ke-92).

Sementara itu, dalam kalangan negara Islam, Malaysia berada di belakang Qatar, Senegal, Albania, Kosovo, Bosnia-Herzegovina dan Chad.

RSF dalam laporannya turut menamakan Malaysia antara negara di Asia Pasifik di mana "wartawan sering tertakluk kepada tindakan strategik mahkamah terhadap penyertaan awam... biasanya dilakukan elit politik atau ekonomi yang mengeksploitasi undang-undang yang membataskan perlindungan kepada pihak media."

Sementara itu, RSF mendapati trend kemerosotan kebebasan akhbar di seluruh dunia, dan menyelar keras pentadbiran semasa Washington yang kerap terlibat dalam konflik dengan media di negara itu.

"Presiden AS Donald Trump telah menjadikan serangannya yang berulang kali terhadap media dan wartawan sebagai satu dasar sistematik," katanya. AS ditempatkan di kedudukan ke-64, jatuh tujuh anak tangga dari tahun lalu.