Bos BlackRock jaja naratif Trump dan Israel dalam perang terhadap Iran
Firma terpalit jenayah perang Israel itu menjadi sasaran bantahan di Malaysia selepas dibawa masuk oleh kerajaan untuk menguruskan lapangan terbang di Malaysia.
Terkini
Orang nombor satu di BlackRock, syarikat gergasi yang berdepan tuduhan terpalit dengan pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat Palestin, baru-baru ini mengulangi naratif Amerika Syarikat dan Israel dalam perangnya terhadap Iran, pendirian yang dilihat bakal menghidupkan kembali kempen menghalang firma itu daripada memperoleh aset penting di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif dan pengerusi BlackRock, Larry Fink, berkata Iran "kekal sebagai ancaman", sambil menuduh negara itu mengganggu keamanan di rantau Teluk.
"Ancaman kepada perdagangan, ancaman kepada Selat Hormuz, ancaman kepada kewujudan bersama secara aman di rantau GCC [Majlis Kerjasama Teluk]," beliau dipetik majalah Fortune apabila ditanya mengenai kesan perang terhadap ekonomi global.
Fink seterusnya mencadangkan bahawa kepimpinan Iran merupakan "pengeksport ketakutan" dan menjadi batu penghalang kepada perdagangan antarabangsa.
"Kita akan mengalami kemelesetan global. Fikirkan apa maksudnya untuk harga pertanian; baja ialah hasil sampingan daripada minyak. Ia benar-benar mengganggu pelbagai rantaian bekalan."
Dalam satu lagi wawancara bersama akhbar Sepanyol, El País, pada 31 Mac, pendirian Fink mencerminkan naratif Presiden Donald Trump: "Sekarang, jika perang berakhir, adakah ia bermakna Iran akan berhenti menjadi negara yang mengeksport permusuhan dan menyebarkan ketidakstabilan di seluruh rantau ini?" soalnya apabila ditanya mengenai kesan perang ke atas aset kewangan, sektor yang menjadi teras kepada perniagaan BlackRock di seluruh dunia.
Tanpa mengambil kira sekatan ekonomi empat dekad yang dikenakan oleh Washington ke atas Iran, Fink turut mendakwa Iran berada dalam keadaan ekonomi yang lebih baik sebelum revolusi 1979 yang menggulingkan sistem monarki Shah yang terkenal dengan kekejamannya terhadap rakyat negara itu.
"Seorang pemimpin negara Teluk memberitahu saya minggu lalu bahawa pada 1979, Iran jauh lebih kaya daripada Qatar, Arab Saudi atau UAE. Rejim ini telah melakukan kerja yang teruk untuk rakyatnya," tambahnya.
Akhbar itu kemudian mengingatkan Fink bahawa peperangan di Teluk kini dimulakan AS dan Israel.
Fink, bagaimanapun mempertahankan cara pentadbiran Trump mengendalikan perang tersebut.
"Ya. Dan Amerika Syarikat mengambil tanggungjawab. Itulah sebabnya ia mengemukakan rancangan untuk mencapai keamanan."
Akhbar itu sekali lagi mencabar Fink dengan merujuk kepada tindakan AS menculik Presiden Venezuela Nicolás Maduro, di samping ugutan Trump untuk menakluki Greenland.
Fink: Saya tidak mahu jawab. Saya di sini bukan untuk bercakap politik.
Soalan: Adakah golongan ahli perniagaan dan eksekutif Amerika takut bercakap mengenai dasar negara mereka?
Fink: Saya tidak mahu meneruskan wawancara ini dengan perbincangan politik.
BlackRock menjadi tumpuan di Malaysia susulan langkah Putrajaya membawa masuk syarikat miliknya, Global Infrastructure Partners (GIP) ke dalam sebuah konsortium untuk mengambil alih Malaysia Airports (MAHB), firma milik kerajaan yang mengendalikan lapangan terbang di seluruh negara.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan, bertegas dengan keputusannya untuk menjual saham kerajaan kepada GIP, meskipun berdepan bantahan pengkritik yang mengingatkannya mengenai penglibatan BlackRock dalam jenayah perang Israel.
Pelbagai kumpulan pro-Palestin serta pemimpin pembangkang berulang kali menggesa Anwar membatalkan perjanjian dengan syarikat milik BlackRock itu, sambil berkata langkah itu bercanggah dengan kenyataannya yang mengutuk kekejaman Israel di Gaza.
Dalam satu kenyataan bersama diketuai cawangan tempatan gerakan global boikot Israel, BDS Malaysia, Anwar digesa supaya tidak meneruskan penjualan saham kepada GIP.
"Situasinya yang sedang berlaku di Palestin adalah sebenarnya agak mudah untuk difahami dan diketahui umum iaitu satu entiti Zionis sedang berkuasa di bumi Palestin. Untuk menghentikan kekejaman ini, semua pihak yang bencikan kezaliman yang sedang berlaku ini mesti bertindak secara kolektif untuk menyekat entiti Zionis ini dari terus melakukan jenayah kemanusiaan terhadap warga Palestin," kata mereka.
Anwar bagaimanapun mempertahankan perjanjian itu, dengan alasan kerajaan tidak boleh memutuskan hubungan dengan syarikat yang menjalinkan kerjasama dengan Israel kerana ia akan "menjejaskan ekonomi negara".
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
