- Iklan -
Berita

Pendedahan: Gesaan agar AS campur tangan, dakwaan 'pelampau Islam' dalam laporan disediakan PKR dan perunding Washington

Dosier setebal 84 muka surat mengandungi dakwaan serius terhadap Najib Razak dan bertujuan meyakinkan Washington supaya mengkritik kerajaan Malaysia secara terbuka.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi

Walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan perkhidmatan perunding asing pada 2016 untuk partinya hanya bertujuan mendesak pembebasannya dari penjara, penelitian sebuah laporan panjang lebar yang disediakan bersama oleh pelobi berpangkalan di Washington dan seorang pemimpin kanan PKR menunjukkan ia sarat dengan tuduhan terhadap kerajaan Najib Razak mengenai "pelampau Islam" dan tindakan "menghalang kebebasan", MalaysiaNow boleh mendedahkan.

Dokumen setebal 84 muka surat itu bertajuk "Kertas Putih mengenai kes Anwar Ibrahim: Warganegara Malaysia lwn Kerajaan Malaysia", disediakan bersama oleh pemimpin PKR Sivarasa Rasiah dengan Jared Genser, seorang peguam Amerika Syarikat yang mengetuai Perseus Strategies, firma guaman dan perundingan politik berpangkalan di Washington yang pernah menawarkan khidmatnya kepada perdana menteri.

Dokumen bertarikh 17 April 2016 itu bertujuan memujuk pentadbiran Presiden Barack Obama ketika itu supaya menumpukan perhatian lebih dalam politik dalaman Malaysia dengan matlamat agar kerajaan AS menggunakan pengaruhnya untuk menyuarakan bantahan terhadap kerajaan Najib.

Ia merupakan penulisan yang sarat dengan pandangan keras mengenai sistem keadilan, politik dan ekonomi Malaysia, dan berulang kali menggunakan istilah kontroversi seperti "ekstremisme agama", "fundamentalisme Islam", "Islam konservatif", dan "dasar Islamisasi tanpa keterbukaan" bagi menguatkan hujah mengenai apa yang disifatkan sebagai ancaman yang dibawa kerajaan Najib.

"Sementara itu, pentadbiran Najib juga telah membawa Malaysia ke arah peningkatan Islamisasi. Pemimpin kanan dalam parti Umno pimpinan Najib secara terbuka menyokong seruan golongan Islam konservatif di utara untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam, atau hudud," menurut dokumen itu.

Seorang ahli Parlimen kanan PKR memberitahu MalaysiaNow bahawa dokumen tersebut telah "diedarkan kepada beberapa ahli Kongres AS".

dossier_genser_PKRDosier itu turut merujuk kepada kontroversi mengenai pengharaman penggunaan kalimah "Allah" dalam teks keagamaan bukan Islam, sambil memberi amaran mengenai penerapan dasar Islam di jabatan-jabatan kerajaan.

"Najib sendiri menyokong larangan mahkamah terhadap orang bukan Islam daripada penggunaan perkataan 'Allah', dan pentadbiran Najib telah mewujudkan 'Indeks Syariah' untuk mengukur sejauh mana kerajaan mematuhi prinsip-prinsip Islam merentasi isu perundangan, ekonomi, politik dan sosial dengan matlamat utama untuk membawa penjajaran yang lebih rapat.

"Trend ke arah Islamisasi konservatif dan tidak liberal ini merunsingkan kira-kira satu pertiga penduduk negara ini yang bukan Islam," tambahnya.

Pada 2 Mac, MalaysiaNow mendedahkan kandungan e-mel melibatkan pemimpin kanan PKR pada 2016, yang menunjukkan bagaimana Genser diupah untuk menjalankan kempen intensif bukan sahaja untuk membebaskan Anwar yang ketika itu sedang menjalani hukuman penjara atas sabitan liwat, tetapi juga untuk meyakinkan White House supaya mengenakan tekanan "sangat keras" ke atas kerajaan Najib.

Ia ketika Putrajaya meningkatkan serangan terhadap keluarga Daim Zainuddin kerana mendapatkan khidmat sebuah firma perhubungan awam luar negara bagi melawan tuduhan terhadap bekas menteri kewangan itu, di mana pihak berkuasa mengumumkan siasatan "konspirasi menjatuhkan kerajaan" melibatkan balunya Na'imah Khalid dan agensi berita kewangan Bloomberg.

E-mel daripada Genser itu mencadangkan anak sulung Anwar, Nurul Izzah, mengadakan kunjungan ke AS untuk mendepani kempen perhubungan awam yang melibatkan "pertemuan di peringkat tertinggi dengan White House dan Jabatan Negara", di samping penerbitan artikel di media bagi menonjolkan isu permohonan pengampunan diraja oleh Anwar.

Pendedahan itu mencetuskan persoalan mengenai sikap pilih kasih kerajaan di sebalik kempen oleh Anwar dan pihak berkuasa untuk memburukkan keluarga Daim kerana mendapatkan khidmat firma perhubungan awam asing dalam usaha menangkis tuduhan terhadap bekas menteri kewangan itu.

Polis setakat ini telah mengumumkan siasatan terhadap Na'imah dengan menggunakan undang-undang berkenaan "menggulingkan kerajaan", berdasarkan laporan polis oleh seorang bekas wartawan yang pernah dipecat daripada pasukan komunikasi keluarga Daim.

Laporan polis itu mendakwa bahawa pendedahan oleh Bloomberg mengenai kaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan "mafia korporat" mungkin merupakan sebahagian daripada rancangan untuk menggulingkan kerajaan Anwar.

Beberapa hari kemudian, Anwar mendakwa tokoh Zionis "terkemuka" dan pihak bank turut terlibat dalam rancangan Na'imah, sambil mempertahankan kempen perhubungan awamnya di AS sedekad lalu sebagai hanya tertumpu kepada usaha membebaskannya dari penjara.

Tuduhan itu ditolak oleh peguam Na'imah yang menyatakan aktiviti perhubungan awamnya bertujuan meyakinkan sektor perbankan yang berkaitan dengan dunia perniagaan Daim tentang daya maju kewangan, ketika tokoh perniagaan itu menjadi sasaran serangan Anwar dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

"Tidak ada apa-apa pun mengenai usaha mengguling atau melemahkan kerajaan Malaysia," kata peguam.

Aduan Nurul Izzah kepada Washington: 'Sengketa kaum', 'ekstremisme agama'

Sementara itu, laporan disediakan Sivarasa dan Genser turut memuatkan rencana dan artikel mengenai politik Malaysia yang diterbitkan di akhbar AS, di samping petisyen menggesa pembebasan Anwar yang ditandatangani oleh aktivis, ahli akademik dan pemimpin politik Barat.

Najib_Obama_golf_hawaiiSalah satu artikel itu secara terbuka mengisytiharkan kandungannya: "Apa yang perlu Obama lakukan di Malaysia," menurut tajuk rencana yang diterbitkan oleh US News and World Report di bawah nama Nurul Izzah pada November 2015, menjelang Sidang Kemuncak Asean-AS ke-3 di Kuala Lumpur yang dihadiri Obama.

Dalam penulisannya, Nurul Izzah mengetengahkan pelbagai aduan mengenai Najib.

"Najib kehilangan sokongan rakyat, di mana tinjauan umum mendapati kurang satu dalam empat rakyat Malaysia menyokong kepimpinannya. Matlamat taktik Najib di Malaysia adalah meningkatkan sengketa antara puak, ketidakseimbangan ekonomi dan persekitaran sesuai untuk percambahan ekstremisme di kalangan sebahagian besar penduduk yang tidak dilibatkan dan tidak berpuas hati," tulisnya.

Beliau seterusnya menyentuh halangan yang dikenakan terhadap beberapa pengkritik Najib, termasuk Rafizi Ramli, kini ahli Parlimen Pandan yang beliau sendiri singkirkan secara kontroversi tahun lalu dalam pertandingan merebut jawatan kedua tertinggi dalam PKR selepas bapanya.

Beliau menuduh Umno mencetuskan ketegangan kaum dan ekstremisme agama, "yang merupakan satu lagi masalah yang semakin meningkat di Malaysia", tulisnya.

Menurutnya, AS harus "berdiri bersama semua rakyat Malaysia yang percaya bahawa hak asasi manusia tidak boleh dicabul dan menilai semula kesetiaannya kepada kerajaan yang korup itu".

"Presiden Obama harus menekankan kepada Najib bahawa kepelbagaian budaya dan reformasi demokrasi merupakan satu-satunya cara berkesan untuk mengurangkan ekstremisme agama, serta membendung gelombang ekstremisme di negara kita.

"Dan beliau mesti menyatakan secara terbuka untuk membebaskan ayah saya dan tahanan politik lain," tulis Nurul Izzah.

Tiga bulan kemudian, Genser menulis artikel bernada keras yang membidas Najib, dalam jurnal terbitan The Berggruen Institute, sebuah badan pemikir berpangkalan di Los Angeles yang ahlinya terdiri daripada hartawan kontroversi seperti Eric Schmidt dan Elon Musk, dengan pandangan mengenai demokrasi yang dikritik sebagai berat sebelah dan pro-Barat.

Menulis dalam The World Post, Genser menuduh Najib berpaut pada kuasa dengan memanipulasi persempadanan kawasan pilihan raya, memenuhi tuntutan "etnik Melayu Islam konservatif", melaksanakan dasar pecah belah, dan mengambil tindakan tegas terhadap masyarakat sivil dan media.

Beliau memberi amaran kepada Obama supaya mengambil "hala tuju baharu".

"Obama mesti secara terbuka menuntut pembebasan segera Anwar dan pembatalan tuduhan bermotif politik seperti hasutan dan jenayah lain yang disasarkan kepada ramai aktivis di Malaysia. Sekiranya Obama berdiam diri, ia samalah seperti memberi Najib lesen untuk bertindak sewenang-wenangnya," tulis Genser.