- Iklan -
Berita

Pendedahan: Bagaimana PKR guna firma perunding asing supaya AS beri tekanan kepada Najib

Kandungan e-mel menunjukkan bagaimana Nurul Izzah mendepani sebuah kempen PR yang mengambil kesempatan daripada skandal 1MDB untuk melibatkan AS dalam politik Malaysia.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Nurul Izzah Anwar terlibat dalam mendepani kempen yang dirancang oleh perunding AS Jared Genser dalam usaha mewujudkan tekanan kerajaan asing bagi pembebasan Anwar Ibrahim.
Nurul Izzah Anwar terlibat dalam mendepani kempen yang dirancang oleh perunding AS Jared Genser dalam usaha mewujudkan tekanan kerajaan asing bagi pembebasan Anwar Ibrahim.

Perbicangan e-mel melibatkan pemimpin kanan PKR pada 2016 mendedahkan bagaimana parti itu mendapatkan perkhidmatan sebuah kumpulan perunding AS dalam kempen membebaskan Anwar Ibrahim, yang ketika itu sedang menjalani hukuman penjara atas sabitan kes liwat, di samping memujuk kerajaan Amerika Syarikat supaya mengenakan tekanan "sangat keras" terhadap perdana menteri ketika itu, Najib Razak, MalaysiaNow boleh mendedahkan.

Ia ketika Putrajaya kini meningkatkan serangan terhadap keluarga Daim Zainuddin kerana mendapatkan khidmat sebuah firma perhubungan awam luar negara bagi melawan tuduhan terhadap bekas menteri kewangan itu, di mana pihak berkuasa mengumumkan siasatan "konspirasi menjatuhkan kerajaan" melibatkan balunya Na'imah Khalid dan agensi berita kewangan Bloomberg.

Antara bahan serangan terhadap Na'imah ialah sebuah dokumen bertajuk "Pelan Komunikasi" disediakan oleh firma perhubungan awam berpangkalan di London, Teneo – yang dimuat naik di media sosial oleh pasukan siber PKR.

Dokumen tersebut menyatakan objektif utama kempen itu adalah untuk "memelihara nama baik Daim Zainuddin dan keluarganya".

Ia berbeza dengan misi yang lebih luas yang diberikan kepada perunding yang terlibat dengan beberapa pemimpin kanan PKR pada 2016, iaitu membina tekanan politik AS terhadap pentadbiran Najib.

Salah satu daripada puluhan e-mel yang dilihat oleh MalaysiaNow, Perseus Strategies, firma guaman dan perunding politik berpangkalan di Washington yang dipimpin oleh peguam Jared Genser, membincangkan strategi dengan beberapa pemimpin PKR dalam usaha meyakinkan pentadbiran Presiden Barack Obama ketika itu supaya memberikan tekanan kepada kerajaan Malaysia, ketika berlaku skandal 1MDB.

Genser mencadangkan anak sulung Anwar, Nurul Izzah, untuk berkunjung ke Washington pada akhir November 2016 sebagai mendepani sebuah kempen perhubungan awam yang melibatkan "pertemuan di peringkat tertinggi dengan White House dan Jabatan Negara", di samping penerbitan artikel di media bagi menonjolkan isu permohonan pengampunan diraja oleh Anwar.

"Seperti yang dibincangkan, kami amat berharap Izzah dapat datang ke Washington pada akhir November untuk berusaha supaya Presiden Obama membuat desakan terakhir bagi membebaskan Anwar dan untuk mengembalikan penglibatan Kongres. Tarikh yang sesuai iaitu apabila Kongres kembali bersidang, ialah 29, 30 November dan 1 Disember," menurut e-mel bertarikh 26 Oktober 2016 daripada Genser kepada Nurul Izzah dan Sivarasa Rasiah, ketua biro undang-undang PKR ketika itu yang juga sebahagian daripada biro politik, badan pembuat keputusan tertinggi parti.

Genser menambah: "Semasa di Washington, kami akan mendapatkan pertemuan di peringkat setinggi-tinggi mungkin dengan White House dan Jabatan Negara, mengadakan pertemuan dengan ahli Kongres yang utama, dan berinteraksi dengan media dan kumpulan hak asasi manusia."

Beliau kemudian mencadangkan, untuk memastikan "lawatan yang paling produktif", persediaan sedang dibuat untuk menerbitkan sebuah artikel dalam Foreign Policy, majalah berpengaruh yang sering menjadi pilihan pelobi dan ahli perniagaan dalam menampilkan sesuatu idea kepada pembuat dasar AS.

Nurul Izzah diminta senaraikan kenyataan Najib tentang Melayu, Islam

Untuk membantunya membina naratif bagi meyakinkan pihak berkuasa AS, Genser turut meminta Nurul Izzah menyediakan senarai kenyataan-kenyataan oleh Najib dan pemimpin kerajaan lain yang menonjolkan mereka memberikan "pandangan sempit kaum Melayu, kebencian kaum, dan pandangan ultra-konservatif Islam".

MalaysiaNow boleh mengesahkan kesahihan e-mel tersebut, yang merupakan sebahagian daripada himpunan e-mel yang diberikan akses oleh seorang ahli Parlimen kanan PKR.

Tidak dapat disahkan sama ada lawatan yang dicadangkan oleh Genser itu berlaku.

Bagaimanapun, setahun sebelum itu, ketika kemuncak skandal 1MDB, Nurul Izzah telah berkunjung ke AS, di mana beliau dilaporkan memberitahu Bloomberg dalam satu temu bual bahawa pentadbiran Obama seharusnya tidak melayani Najib kerana "pembangkang boleh mengambil alih kuasa".

Menurutnya lagi, Washington harus berdamping dengan pembangkang ketika itu, Pakatan Harapan, atau berisiko dilabel sebagai sekutu Najib.

"Sebab itulah saya ke sini. Hakikat bahawa Najib telah banyak kehilangan kredibiliti tidak boleh diabaikan Amerika Syarikat," kata Nurul Izzah, yang kini orang nombor dua dalam PKR selepas bapanya, seperti dilaporkan Bloomberg pada September 2015.

Najib_Obama_golf_hawaiiDua tahun sebelumnya, pada April 2014, Najib meraikan Obama dalam lawatan rasmi pertama oleh presiden AS ke Malaysia sejak beberapa dekad.

Beberapa bulan kemudian, gambar Najib dan Obama bermain golf di Hawaii sekali lagi menonjolkan persahabatan mereka.

Walaupun selepas meletusnya skandal 1MDB pada 2015 susulan pendedahan Wall Street Journal, pentadbiran Obama tidak mengulas secara langsung mengenainya, sementara Jabatan Kehakiman AS meneruskan tindakan undang-undang terhadap beberapa watak yang terpalit dengan skandal itu di AS.

'Perlu pujuk Obama'

Sementara itu, Genser dalam emelnya berkata perlu ada "tekanan awam yang besar daripada pelbagai kerajaan" terhadap Najib untuk membebaskan Anwar "dengan segera dan tanpa syarat", meskipun hakikatnya presiden PKR itu dihukum penjara selepas proses perbicaraan yang panjang sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Anwar dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Pada 2018, berikutan kemenangan pembangkang pada pilihan raya umum di bawah Dr Mahathir Mohamad, Anwar dibebaskan selepas diberikan pengampunan diraja, memenuhi janji bekas perdana menteri itu kepada PH.

Dalam emelnya, Genser mengakui sukar menggesa Obama untuk memastikan Anwar diberikan pembebasan segera, disebabkan tiada tekanan daripada kerajaan asing yang lain.

Lantaran itu, beliau mencadangkan Anwar mendapatkan rawatan perubatan di AS dan "kekal di luar Malaysia sehingga Najib bukan lagi PM".

Menurut Genser, dengan cara ini, kesempatan boleh diambil daripada kunjungan Nurul Izzah ke Washington untuk mendesak Obama, Setiausaha Negara John Kerry, dan ahli Kongres AS "untuk memberikan tekanan keras ke atas Najib".

"Kami juga akan menggunakan maklumat ini untuk melibatkan Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia, kerajaan UK, EU, Komanwel, dan banyak lagi yang lain."

E-mel itu jelas menggambarkan Anwar yang ketika itu di penjara mengetahui sepenuhnya perbincangan dan inisiatif oleh pemimpin kanan PKR, dan beliau juga kerap dirujuk untuk mendapatkan arahan selanjutnya.

"Siva, bolehkah kamu berunding dengan Anwar tentang pendekatan tersebut dan memberitahu kami bagaimana dia mahu kami membentuk permintaan untuk mendapatkan bantuan? Saya cadangkan jangan bincang secara lisan tetapi tulis nota kecil kepadanya untuk dibaca, di mana dia boleh menulis reaksinya," tulis Genser kepada Sivarasa, salah seorang peguam Anwar yang kerap melawat Anwar di penjara.