PAS bela hak wanita Hindu bertemu anak selepas 16 tahun dilarikan bekas suami
Perbezaan agama bukan alasan memisahkan ibu dan anak, kata Zaharuddin Muhammad.
Terkini
Seorang pemimpin kanan PAS tampil bersama beberapa aktivis dan pempengaruh untuk menyatakan sokongan kepada seorang wanita beragama Hindu yang anaknya dilarikan oleh bekas suaminya, dalam usaha terkini perjuangannya sejak 16 tahun selepas pihak berkuasa gagal memenuhi arahan Mahkamah Persekutuan untuk menyatukannya kembali dengan anak perempuannya yang kini sudah mencapai usia remaja.
Zaharuddin Muhammad, yang mengetuai sebuah badan pemikir urus tadbir Islam, turut menawarkan dirinya menjadi orang tengah antara pihak berkuasa dan keluarga yang terlibat supaya kedua-dua ibu dan anak dapat bersatu semula.
"Ini bukan lagi isu akidah, bukan isu agama, ini isu kemanusiaan, isu kekeluargaan dan keibuan. Walaupun dah masuk Islam dan berlainan agama, ibu dan anak tak boleh dipisahkan kerana berlainan agama," kata Zaharuddin yang juga ketua PAS Sungai Buloh, dalam sidang akhbar dipengerusikan peguam Latheefa Koya untuk mengetengahkan nasib guru tadika, M Indira Gandhi.
Turut hadir ialah pendakwah bebas, Hoslan Hussein, aktivis hak tanah Kampung Baru Rafidah Ibrahim, dan pempengaruh popular Ratu Naga, atau Syarul Ema.
Indira ialah ibu kepada Prasana Diksa, anaknya berusia 11 bulan yang dibawa lari pada 2009 oleh bapanya, Riduan Abdullah selepas memeluk Islam.
Bulan lalu, Indira meluahkan bantahan dengan menolak kereta sorong bayi di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebagai peringatan kepada pihak berkuasa dan agensi kerajaan yang masih gagal mengesan anak perempuannya.
Ia meskipun bekas suaminya dipercayai masih berada dalam negara.
Riduan memeluk Islam pada 2009 dan kemudiannya menukar agama tiga anak mereka daripada Hindu kepada Islam tanpa persetujuan Indira, sebelum membawa lari Prasana yang sehingga kini tidak ditemukan kepada ibu kandungnya.
Insiden itu mencetuskan membawa kepada prosiding mahkamah yang berlarutan dalam usahanya mendapatkan hak penjagaan.
Pada 2018, Mahkamah Persekutuan menyebelahi Indira apabila membatalkan tindakan bekas suaminya untuk menukar agama anak mereka secara unilateral.
Bagaimanapun, lebih tujuh tahun selepas keputusan itu, polis masih gagal menguatkuasakan arahan mahkamah untuk mencari dan memulangkan Prasana ke pangkuan ibunya, sehingga mencetuskan persoalan mengenai kemampuan sistem keadilan untuk mempertahankan hak ibu bapa di samping isu berkait agama.
Pada Oktober, Riduan dilaporkan masih berada dalam negara berdasarkan maklumat daripada program Budi95, di mana dia didapati telah membeli petrol bersubsidi di Malaysia, sekaligus bercanggah dengan dakwaan polis dia berada di Thailand.
Susulan itu, Mahkamah Tinggi Ipoh mengarahkan polis untuk meningkatkan usaha mencari Riduan.
Sebelum ini, peguam Indira, Rajesh Nagarajan, mempersoalkan dakwaan polis bahawa Riduan telah meninggalkan negara, dan sama ada namanya disenaraihitamkan disebabkan statusnya sebagai orang dikehendaki.
Berikutan kegagalan pihak berkuasa mengesan Riduan, Indira pada 2020 memfailkan saman RM100 juta terhadap polis dan kerajaan. Mahkamah Tinggi bagaimanapun menolak saman itu tahun lalu, sementara keputusan akhir masih terpulang kepada Mahkamah Rayuan.
'Hentikan lakonan politik'
Zaharuddin, yang juga menantu kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang, berkata beliau bersedia bertemu dan berbincang dengan Riduan bagi mencari penyelesaian.
Menurutnya, keutamaan sekarang adalah menyatukan semula Prasana dengan ibunya atas dasar kemanusiaan, sambil menambah bahawa sebagai seorang yang berpegang kepada prinsip Islam, beliau mempunyai tanggungjawab memastikan hak seorang ibu.
Zaharuddin merayu kepada mana-mana pihak yang berhubung dengan Riduan untuk memaklumkan mengenai tawarannya menjadi orang tengah.
"Tolong sampaikan video saya ini kepada beliau, dan tolong hubungi saya di nombor 019-351-4078," kata Zaharuddin.
"Indira sebagai seorang ibu cuma nak jumpa anak, itu saja. Yang ini saya rasa perlu diusahakan bersama-sama oleh semua kita, termasuk kita semua orang Islam."
Sementara itu, Latheefa membidas beberapa ahli politik pemerintah yang menyatakan simpati dengan nasib Indira atas kapasiti peribadi mereka, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai lakonan politik semata-mata.
"Malah kita ada wakil-wakil pentadbiran kerajaan sekarang yang cuba datang sama ada dalam demonstrasi atau perhimpunan yang dibuat oleh Indira. Mereka datang secara individu, padahal mereka ini mewakili kerajaan. Datang secara individu dan memberi simpati. Apa gunanya? Buat kerja sebagaimana kamu telah diamanahkan," tambahnya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
