- Iklan -
Luar Sana

Presiden Iran pertahan program nuklear di Perhimpunan Agung PBB

Ebrahim Raisi senjata nuklear tidak mempunyai tempat dalam doktrin pertahanan republik Islam itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Iran Ebrahim Raisi memegang kitab suci al-Quran ketika berucap pada sesi ke-78 Perhimpunan Agung PBB di New York, Amerika Syarikat, 19 September. Gambar: Reuters
Presiden Iran Ebrahim Raisi memegang kitab suci al-Quran ketika berucap pada sesi ke-78 Perhimpunan Agung PBB di New York, Amerika Syarikat, 19 September. Gambar: Reuters

Presiden Iran Ebrahim Raisi mempertahankan program nuklear negara itu pada Perhimpunan Agung PBB di New York pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Senjata nuklear tidak mempunyai tempat dalam doktrin pertahanan Republik Islam Iran,” kata Raisi dalam ucapannya kepada PBB.

Sekatan antarabangsa tidak menghalang negara itu daripada maju, tambahnya.

Pada 2015, Tehran menandatangani perjanjian nuklear untuk menyekat pengayaan uranium secara drastik dan membenarkan pemeriksaan ketat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Langkah itu bertujuan untuk menyekat senjata nuklear di negara itu.

Selepas Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian itu pada 2018 di bawah presiden ketika itu Donald Trump, Tehran mula memperkayakan uranium hampir mencapai ketulenan gred senjata dan menyekat pemeriksaan IAEA.

Pada Sabtu, Tehran memaklumkan kepada IAEA bahawa ia telah melucutkan akreditasi pakar utama mereka untuk memeriksa senjata nuklear negara itu. 

Langkah itu susulan pengumuman Jerman, Perancis dan Britain pada Khamis bahawa mereka tidak akan menarik balik sekatan sedia ada terhadap Iran berhubung program nuklearnya.

Rundingan untuk menghidupkan semula perjanjian nuklear 2015 tidak mencapai kemajuan yang ketara selama lebih daripada setahun.

Pada Isnin, Amerika Syarikat dan Iran melakukan pertukaran tahanan yang telah disediakan selama berbulan-bulan dan, menurut pemerhati boleh membuka laluan kepada pusingan baharu rundingan.