- Iklan -
Luar Sana

China, EU adakan perbincangan mengenai AI, aliran data rentas sempadan

Pertemuan itu diadakan ketika ketegangan antara China dan EU meningkat selepas Suruhanjaya Eropah mengumumkan siasatan sama ada akan mengenakan tarif punitif ke atas EV China untuk melindungi pengeluar EU.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Naib Perdana Menteri China Zhang Guoqing ketika menghadiri pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin sewaktu Forum Ekonomi Timur ke-8 di Vladivostok, Rusia, 12 September. Gambar: Reuters
Naib Perdana Menteri China Zhang Guoqing ketika menghadiri pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin sewaktu Forum Ekonomi Timur ke-8 di Vladivostok, Rusia, 12 September. Gambar: Reuters

China dan Kesatuan Eropah (EU) mengadakan perbincangan mengenai pelbagai topik merangkumi kecerdasan buatan (AI) dan aliran data rentas sempadan di Beijing semalam, di tengah-tengah pertikaian mengenai siasatan EU terhadap subsidi kenderaan elektrik (EV) China. 

Rundingan itu adalah sebahagian daripada Dialog Digital Peringkat Tinggi EU-China yang dipengerusikan bersama Naib Perdana Menteri China Zhang Guoqing dan Naib Presiden Suruhanjaya Eropah bagi Nilai dan Ketelusan Vera Jourova

Suruhanjaya Eropah dalam satu kenyataan berkata, dialog demikian adalah yang pertama dalam tempoh tiga tahun.

Pertemuan itu diadakan ketika ketegangan antara China dan EU meningkat selepas Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen mengumumkan siasatan sama ada akan mengenakan tarif punitif ke atas EV China untuk melindungi pengeluar EU. 

Beijing mengkritik siasatan itu sebagai "langkah pelindung" dan memberi amaran ia akan merosakkan hubungan ekonomi.

Rundingan semalam merangkumi isu utama termasuk platform dan peraturan data, AI, dan aliran data industri rentas sempadan, kata China dan EU. 

Suruhanjaya Eropah melahirkan kebimbangan mengenai "kesukaran yang dihadapi oleh syarikat EU di China untuk menggunakan data perindustrian mereka, akibat daripada penggunaan perundangan baru-baru ini." 

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menjelaskan undang-undang mana yang dirujuknya. 

China memperluaskan undang-undang anti pengintipannya pada Julai lalu, dengan kemas kini meluas termasuk melarang pemindahan sebarang maklumat yang berkaitan dengan keselamatan negara dan meluaskan definisi pengintipan. 

Zhang pada mesyuarat itu memberitahu bahawa China mengalu-alukan syarikat dari seluruh dunia, termasuk Eropah, untuk berkongsi peluang pembangunan ekonomi digitalnya dan mencapai keputusan menang-menang, lapor agensi berita rasmi Xinhua.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk menggalakkan persekitaran terbuka, adil dan tidak diskriminasi untuk pembangunan ekonomi digital, kata Xinhua. 

Kedua-dua pihak turut membincangkan topik lain termasuk penyelidikan dan inovasi, teknologi maklumat dan komunikasi, serta keselamatan produk yang dijual dalam talian.