- Iklan -
Berita

Korban akibat banjir di Libya dapat dielak jika ada sistem amaran, kata ketua WMO

Operasi menyelamat bertambah rumit susulan kemelut politik di negara itu yang sering berperang tanpa kerajaan pusat yang kuat sejak pemberontakan disokong Nato bagi menggulingkan Muammar Gaddafi pada 2011.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki menangis selepas mengebumikan mayat anaknya, yang meninggal dunia bersama tiga sepupunya di Libya selepas Ribut Daniel melanda negara itu. Gambar: Reuters
Seorang lelaki menangis selepas mengebumikan mayat anaknya, yang meninggal dunia bersama tiga sepupunya di Libya selepas Ribut Daniel melanda negara itu. Gambar: Reuters

Ketua Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) berkata, angka korban akibat banjir di Libya dapat dielakkan jika negara bergolak itu mempunyai perkhidmatan kaji cuaca yang mampu mengeluarkan amaran lebih awal.

Bercakap kepada pemberita di Geneva, Setiausaha Agung WMO Petteri Taalas berkata cabaran utama Libya dalam menguruskan kesan banjir yang telah mengorbankan ribuan nyawa adalah kerajaan "tidak berfungsi secara normal". 

"Sekiranya mereka mempunyai perkhidmatan meteorologi yang beroperasi secara normal, mereka boleh mengeluarkan amaran," katanya. 

"Pihak berkuasa pengurusan kecemasan akan dapat melakukan pemindahan rakyat. Dan kita boleh mengelakkan mangsa yang terkorban."

Operasi menyelamat bertambah rumit susulan kemelut politik di negara itu yang sering berperang tanpa kerajaan pusat yang kuat sejak pemberontakan disokong Nato bagi menggulingkan Muammar Gaddafi pada 2011. 

Kerajaan Perpaduan Nasional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa berpusat di Tripoli, di barat, manakala pentadbiran selari beroperasi di timur, termasuk bandar Derna, yang telah musnah akibat banjir. 

Taalas berkata WMO sebelum ini telah berhubung dengan pihak berkuasa Libya untuk membantu mereka dalam memperbaharui sistem meteorologi, tetapi usaha ini telah dihalang oleh ancaman keselamatan. 

“Memandangkan keadaan keselamatan di negara ini begitu sukar, sukar untuk pergi ke sana dan memperbaiki keadaan,” katanya.