- Iklan -
Luar Sana

Banjir Libya musnahkan suku bandar, ribuan penduduk maut

Sekurang-kurangnya 10,000 orang masih hilang.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi

Lebih 3,000 orang maut manakala ramai lagi mangsa masih belum ditemui selepas banjir akibat Ribut Daniel yang melanda timur Libya, kata seorang pegawai pada Selasa.

Bercakap kepada Agensi Anadolu, Menteri Kesihatan kerajaan yang dilantik parlimen Othman Abdul Jalil berkata kebanyakan mangsa berada di bandar pesisir pantai Derna.

Bandar dan pekan lain yang terjejas akibat bencana pada hujung minggu itu termasuk Benghazi, Bayda, Al Marj dan Soussa.

Jalil menganggarkan jumlah penduduk yang hilang mencecah ribuan orang, tetapi enggan memberikan angka yang tepat.

Sementara itu, ketua pejabat Libya bagi Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa yang berpangkalan di Tunisia, Tamer Ramadan melaporkan kira-kira 10,000 orang hilang selepas banjir besar negara itu.

Beliau membuat kenyataan itu pada sidang media PBB di Geneva pada Selasa melalui pautan video.

Ribut yang dikenali sebagai Daniel mula menurunkan hujan di Libya pada Ahad, mengakibatkan bencana banjir di bahagian timur negara itu.

Beratus-ratus orang telah dikebumikan di bandar Derna yang teruk terjejas, di mana dua empangan pecah.

Terdahulu, sumber Bulan Sabit Merah Libya memberitahu Anadolu bahawa jumlah kematian di wilayah terjejas mencecah 2,800 orang dengan kebanyakan mangsa mati akibat lemas atau dihempap runtuhan bangunan kediaman.

Kira-kira 7,000 keluarga masih terperangkap di kawasan terjejas, dan operasi menyelamat sedang dijalankan untuk memindahkan mereka, kata sumber itu.

Bulan Sabit Merah Libya turut kehilangan empat kakitangannya semasa membantu dalam usaha menyelamat, menurut pegawai itu.

Ketua kerajaan perpaduan Libya yang berpangkalan di Tripoli, Abdul Hamid Dbeibeh mengisytiharkan semua kawasan yang terdedah kepada banjir sebagai zon bencana, dan mengumumkan tiga hari berkabung.

Residen dan penyelaras kemanusiaan PBB di Libya Georgette Gagnon berkata beliau "sangat sedih" dengan kesan teruk taufan itu, dan menugaskan pasukan tindak balas kecemasan untuk menyokong pihak berkuasa tempatan dan rakan kongsi di rantau itu.

Laporan awal menunjukkan berpuluh-puluh kampung dan bandar terjejas teruk akibat ribut itu, dengan banjir besar, kerosakan infrastruktur dan kehilangan nyawa, tambahnya.