- Iklan -
Berita

Singapura rampas aset pengubahan wang haram di bank Switzerland dalam kes S$1.8 bilion

Skala aktiviti pengubahan wang haram telah mengejutkan hab kewangan Asia itu, dan menimbulkan kebimbangan sama ada terdapat kelemahan dalam sistem kewangannya.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Ilustrasi mahkamah terhadap 10 warga asing yang dituduh terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram terbesar di Singapura (dari kiri atas) Su Baolin, Su Haijin, Chen Qingyuan, Su Wenqiang, Lin Baoying, Zhang Ruijin, Wang Dehai, Su Jianfeng, Vang Shuiming dan Wang Baosen. Gambar: Reuters

Polis Singapura yang menyiasat aktiviti pengubahan wang haram telah merampas S$125 juta (RM428.28 juta) daripada akaun bank salah seorang daripada 10 suspek warga asing yang dituduh dalam kes itu.

Kira-kira S$92 juta dan S$33 juta telah dirampas daripada akaun bank yang dipegang oleh warga Turkiye Vang Shuiming masing-masing di Credit Suisse Singapore dan Bank Julius Baer, ​​menurut afidavit polis yang dibentangkan di mahkamah tinggi pada Selasa. 

Menurut pendakwa raya, jumlah nilai aset yang dirampas oleh pihak berkuasa kini berjumlah S$1.8 bilion. 

Kira-kira S$1 bilion telah dirampas dalam serbuan serentak minggu lalu. 

Pasukan penyiasat masih menunggu maklumat daripada lima lagi institusi kewangan yang tidak dinamakan, menurut afidavit itu.

Credit Suisse bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu. 

Reuters cuba mendapatkan maklum balas daripada Bank Julius Baer namun tidak berjaya.

Aset yang dirampas termasuk jongkong emas, beg tangan berjenama, barang kemas, hartanah dan kereta mewah. 

Skala aktiviti pengubahan wang haram telah mengejutkan hab kewangan Asia itu, dan menimbulkan kebimbangan sama ada terdapat kelemahan dalam sistem kewangannya. 

Mahkamah negara itu nafi memberikan jamin terhadap dua daripada tertuduh warga asing, Wang Baosen dan Su Baolin, semalam. 

Yang lain sepatutnya hadir ke mahkamah melalui pautan video, tetapi masih ditahan reman kerana peguam memerlukan lebih banyak masa untuk menyoal siasat mereka. 

Seorang daripadanya berdepan pertuduhan baharu kerana memiliki wang daripada aktiviti jenayah.