- Iklan -
Luar Sana

Israel buka kedutaan di Bahrain, 3 tahun selepas jalin hubungan

Menteri Luar Bahrain Abdullatif Al Zayani berkata perasmian kedutaan itu ‘menandakan komitmen bersama kami terhadap keselamatan dan kemakmuran untuk seluruh rakyat di rantau itu’.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Luar Israel Eli Cohen dan Menteri Luar Bahrain Abdullatif Rashid Alzayani secara rasmi merasmikan kedutaan Israel di Manama, Bahrain, 4 September. Gambar: Reuters
Menteri Luar Israel Eli Cohen dan Menteri Luar Bahrain Abdullatif Rashid Alzayani secara rasmi merasmikan kedutaan Israel di Manama, Bahrain, 4 September. Gambar: Reuters

Israel secara rasmi membuka kedutaannya di Bahrain semalam, tiga tahun selepas kedua-dua pihak menjalin hubungan dan ketika Washington mendesak Riyadh supaya melakukan perjanjian sama yang akan menjadi hubungan diplomatik terbesar Israel di rantau itu.

Menteri Luar Israel Eli Cohen menghadiri majlis perasmian rasmi misi diplomatik itu ketika mengadakan  lawatan ke Bahrain bersama delegasi yang terdiri daripada ahli perniagaan dan pegawai kerajaan.

"Menteri Luar (Bahrain) dan saya bersetuju bahawa kami harus bekerjasama untuk meningkatkan bilangan penerbangan terus, pelancongan, jumlah perdagangan, pelaburan," kata Cohen pada majlis itu. 

Menteri Luar Bahrain Abdullatif Al Zayani berkata perasmian kedutaan itu "menandakan komitmen bersama kami terhadap keselamatan dan kemakmuran untuk seluruh rakyat di rantau itu".

Jalinan hubungan antara Bahrain dan Israel adalah sebahagian daripada hasil pemeteraian siri perjanjian, yang dikenali sebagai Perjanjian Abraham, yang turut ditandatangani bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Maghribi dan Sudan.

Penganalisis berkata, hubungan rapat dengan Israel dijalin sebahagiannya melalui kebimbangan bersama terhadap Iran. 

Pembukaan kedutaan Israel di Bahrain dibuat ketika AS mendesak sekutu tradisinya Riyadh untuk menandatangani perjanjian sama untuk Arab Saudi, sebuah kuasa besar umat Islam dan dua tanah suci.

Bagaimanapun, Riyadh setakat ini telah menentang tekanan AS dan mengaitkan langkah itu dengan penciptaan negara Palestin sebagai sebahagian daripada penyelesaian dua negara kepada konflik Israel-Palestin, bersama-sama dengan tuntutan lain.