- Iklan -
Luar Sana

Bank pusat Singapura sekat seumur hidup jurubank Goldman Ng selepas terlibat dalam kes 1MDB

Ng dikenakan sekatan secara kekal daripada melakukan sebarang aktiviti terkawal di bawah Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas jurubank Goldman Sachs Roger Ng keluar dari Mahkamah Persekutuan Brooklyn selepas dijatuhi hukuman penjara kerana membantu menyeleweng dana 1MDB, di Brooklyn, New York, 9 Mac. Gambar: Reuters
Bekas jurubank Goldman Sachs Roger Ng keluar dari Mahkamah Persekutuan Brooklyn selepas dijatuhi hukuman penjara kerana membantu menyeleweng dana 1MDB, di Brooklyn, New York, 9 Mac. Gambar: Reuters

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah mengeluarkan perintah larangan seumur hidup (PO) terhadap Ng Chong Hwa, juga dikenali sebagai Roger Ng, bekas Pengarah Urusan Goldman Sachs (Singapura) Pte.

Dalam satu kenyataan hari ini, MAS memaklumkan PO terbabit  dikeluarkan berikutan sabitan kesalahan Ng di Amerika Syarikat kerana berkonspirasi untuk menggelapkan wang daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dan pelanggaran Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) Amerika Syarikat.

Di bawah PO yang berkuat kuasa hari ini, Ng dilarang daripada melakukan sebarang aktiviti terkawal di bawah Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan (SFA) dan dari menyediakan sebarang khidmat nasihat kewangan di bawah Akta Penasihat Kewangan (FAA), menurut bank pusat itu.

Dia juga dilarang daripada mengambil bahagian dalam pengurusan, bertindak sebagai pengarah, atau menjadi pemegang saham besar, mana-mana pasaran modal dan firma khidmat nasihat kewangan di bawah SFA dan FAA buat selama-lamanya.

Menurut MAS, Ng didapati bersalah di Amerika Syarikat pada 8 April 2022, dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada 9 Mac 2023.

Mahkamah mendapati bahawa antara 2009 dan 2014, Ng bersubahat dengan individu lain, termasuk Tim Leissner, untuk mencuci berbilion dolar yang diselewengkan daripada 1MDB, termasuk dana yang dikumpul oleh 1MDB melalui tiga urus niaga tawaran bon yang ditaja oleh The Goldman Sachs Group, Inc dan anak syarikatnya dan rakan kongsinya.

Mereka juga berkomplot untuk memintas kawalan perakaunan dalaman The Goldman Sachs Group, Inc berkaitan dengan tiga transaksi penawaran bon dan perniagaan 1MDB yang lain.

Perbuatan Ng telah memberi alasan kepada MAS untuk mempercayai bahawa ia bertentangan dengan kepentingan awam untuk membenarkan beliau menjalankan perniagaan sebagai wakil, menurut kenyataan itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.