- Iklan -
Luar Sana

India bantah 'peta standard' baru China

India menolak dakwaan berkenaan kerana ia tidak mempunyai asas, malah langkah pihak China itu hanya merumitkan lagi penyelesaian berkaitan sempadan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah lori penghantar gas petroleum cecair memandu di sepanjang lebuh raya Tezpur-Tawang India yang menuju ke sempadan China, di negeri Arunachal Pradesh di timur laut India 29 Mei 2012. Gambar: Reuters
Sebuah lori penghantar gas petroleum cecair memandu di sepanjang lebuh raya Tezpur-Tawang India yang menuju ke sempadan China, di negeri Arunachal Pradesh di timur laut India 29 Mei 2012. Gambar: Reuters

India telah menolak "peta standard" baru China yang menunjukkan negeri Arunachal Pradesh sebagai sebahagian wilayah China.

"Kami hari ini telah mengemukakan bantahan keras melalui saluran diplomatik mengenai apa yang dipanggil 'peta standard' China 2023 yang menuntut wilayah India," kata jurucakap Kementerian Luar Arindam Bagchi dalam satu kenyataan pada Selasa.

"Kami menolak dakwaan itu kerana ia tidak mempunyai asas. Langkah pihak China itu hanya merumitkan lagi penyelesaian soal sempadan," katanya.

Peta itu turut termasuk wilayah Aksai Chin yang India anggap sebagai sebahagian daripada Ladakh tetapi telah berada di bawah kawalan China sejak 1962.

Edisi 2023 peta standard China dikeluarkan pada Isnin dan dimuat naik di laman sesawang perkhidmatan peta standard yang dihoskan oleh Kementerian Sumber Asli, menurut media China.

"Peta itu disusun berdasarkan kaedah lukisan sempadan negara China dan pelbagai negara di dunia," menurut tabloid Global Times dalam media sosial.

Pertikaian itu berlaku beberapa hari sebelum Presiden China Xi Jinping dijangka ke New Delhi untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20.

India dan China mempunyai tuntutan wilayah yang bertindih di sepanjang garisan kawalan sejauh 3,488 kilometer yang memisahkan kedua-dua negara.

Selain India, Peta Standard China baharu itu juga dilaporkan turut merangkumi kawasan maritim dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam.