- Iklan -
Luar Sana

Putin buka mulut isu kematian ketua Wagner, ucap takziah

Vladimir Putin menyifatkan Yevgeny Prigozhin sebagai seorang tokoh yang rumit dan membayangkan bahawa hubungan kerja antara negara Rusia dan pemimpin tentera upahan itu saling menguntungkan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Rusia Vladimir Putin mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Strategik dan Projek Negara melalui pautan video di Moscow, Rusia, 22 Ogos. Gambar: Reuters
Presiden Rusia Vladimir Putin mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Strategik dan Projek Negara melalui pautan video di Moscow, Rusia, 22 Ogos. Gambar: Reuters

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis mengucapkan takziah kepada keluarga mereka yang maut pada Rabu apabila jet peribadi yang membawa ketua kumpulan tentera upahan Wagner Yevgeny Prigozhin terhempas di wilayah Tver Rusia, dilaporkan membunuh 10 orang.

"Mengenai nahas pesawat, pertama sekali, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga semua mangsa. Ia sentiasa merupakan satu tragedi," United Press International (UPI) memetik Putin sebagai berkata semasa pertemuan dengan pemimpin Republik Rakyat Donetsk yang tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa, Denis Pushilin.

Prigozhin bangkit daripada seorang penjenayah kecil yang berkhidmat selama 12 tahun kerana rompakan bersenjata di Kesatuan Soviet kepada seorang penjual hot dog yang menjana kekayaannya dalam perniagaan restoran dan katering sepanjang tempoh kekacauan berikutan keruntuhan Kesatuan Soviet.

Semasa pemerintahan Putin, Prigozhin menjadi kontraktor utama yang menyediakan perkhidmatan makanan kepada tentera Rusia.

Pada 2014, semasa pencerobohan pertama Rusia di Timur Ukraine, Prigozhin menubuhkan kumpulan Wagner sebagai pasukan bantuan persendirian untuk menyokong pemisah pro-Rusia.

Putin menyifatkan Prigozhin sebagai seorang tokoh yang rumit dan membayangkan bahawa hubungan kerja antara negara Rusia dan pemimpin tentera upahan itu saling menguntungkan.

"Sejak permulaan tahun 90-an, beliau adalah individu yang mempunyai nasib yang sukar," kata Putin.

Prigozhin maut dua bulan selepas mengetuai pemberontakan yang gagal terhadap Kementerian Pertahanan Rusia, mengambil alih bandar Rostov on Don, yang merupakan markas kepada ibu pejabat Daerah Tentera Selatan Rusia.

Semasa pemberontakan, pasukan Wagner menuju ke Moscow, mendorong pihak berkuasa tempatan untuk membina halangan di jalan raya.