- Iklan -
Luar Sana

Semua mangsa terkandas 15 jam dalam kereta kabel di Pakistan diselamatkan

Mereka terperangkap pada kira-kira 7 pagi Selasa apabila tiga wayar keluli kereta kabel yang mereka naiki untuk melintasi jurang antara dua gunung terputus

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pasukan penyelamat menarik seorang budak lelaki yang diikat pada tali pinggang keselamatan selepas diselamatkan dari kereta kabel yang terkandas di Battagram, Pakistan, 22 Ogos. Gambar: Reuters
Pasukan penyelamat menarik seorang budak lelaki yang diikat pada tali pinggang keselamatan selepas diselamatkan dari kereta kabel yang terkandas di Battagram, Pakistan, 22 Ogos. Gambar: Reuters

Komando tentera Pakistan dan sukarelawan tempatan berjaya menyelamatkan kesemua lapan orang termasuk enam pelajar sekolah yang terkandas dalam kereta kabel yang rosak selepas 15 jam, kata pegawai, lapor agensi berita dpa.

Mereka terperangkap pada kira-kira 7 pagi Selasa apabila tiga wayar keluli kereta kabel yang mereka naiki untuk melintasi jurang antara dua gunung terputus, kata pegawai polis tempatan Tahir Ayub.

Perdana Menteri Anwar-ul-Haq Kakar mengumumkan operasi itu selesai kira-kira 11 malam.

Terdahulu, Sekurang-kurangnya enam pelajar sekolah di barat laut Pakistan dilaporkan terkandas di udara selepas wayar kereta kabel yang mereka naiki terputus pada Selasa.

Pasukan penyelamat mengalami kesukaran untuk menyelamatkan penumpang kerana ketinggian kereta kabel itu yang dibina di kawasan berbukit.

"Dua wayar kereta kabel itu terputus ketika di udara menyebabkan penumpang tersangkut pada ketinggian kira-kira 3,000 kaki (914 meter)," kata seorang pegawai tempatan, Mufti Gulamullah.

Kereta kabel itu dikendalikan secara persendirian oleh seorang penduduk di situ untuk mengangkut penduduk merentasi sungai kerana tiada jalan atau jambatan di kawasan itu.