- Iklan -
Luar Sana

Lebih 100 orang ditahan dalam serangan ke atas gereja di Pakistan

Kejadian berlaku di Jaranwala di daerah Faisalabad Punjab selepas seorang penganut agama Kristian tempatan dan rakannya didakwa mengoyakkan halaman al-Quran.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berkumpul di bangunan gereja yang dirosakkan oleh penunjuk perasaan di Jaranwala, Pakistan, 16 Ogos. Gambar: Reuters
Orang ramai berkumpul di bangunan gereja yang dirosakkan oleh penunjuk perasaan di Jaranwala, Pakistan, 16 Ogos. Gambar: Reuters

Lebih 100 orang ditahan di wilayah Punjab, Pakistan susulan serangan ke atas gereja dan kediaman penduduk Kristian selepas seorang lelaki Kristian dituduh mencemarkan kitab suci Al-Quran, menurut laporan media pada Rabu.

Kejadian berlaku di Jaranwala di daerah Faisalabad Punjab selepas seorang penganut agama Kristian tempatan dan rakannya didakwa mengoyakkan halaman al-Quran, melemparkannya ke tanah dan menulis kata-kata kesat di halaman lain.

Sekumpulan lelaki bertindak merobohkan rumah lelaki berkenaan dan merosakkan gereja.

Kediaman penganut Kristian lain yang tinggal di kawasan itu turut menjadi sasaran, manakala beberapa gereja turut dibakar di wilayah timur tengah, kata Uskup Majeed Able kepada Anadolu.

Lebih 6,000 pasukan keselamatan dikerahkan ke kawasan berkenaan untuk memastikan ketenteraman awam.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Perdana Menteri sementara Anwar ul Haq Kakar mengecam kejadian itu menerusi kenyataan di akaun media sosialnya sambil berkata tindakan keras akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang dan menyasarkan golongan minoriti.