- Iklan -
Luar Sana

Hampir setengah juta undi rosak dalam pilihan raya Kemboja, kata badan pengundian

Kira-kira 440,000 undi ditolak.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai mengundi semasa pilihan raya umum Kemboja, di Phnom Penh, 23 Julai. Gambar: Reuters
Orang ramai mengundi semasa pilihan raya umum Kemboja, di Phnom Penh, 23 Julai. Gambar: Reuters

Suruhanjaya Pilihan Raya Kemboja memaklumkan bahawa hampir setengah juta undi rosak dalam pilihan raya negara itu bulan lalu, yang mana pengkritik menyifatkannya sebagai palsu kerana semua parti pembangkang dilarang bertanding. 

Setelah memerintah selama hampir 40 tahun, Perdana Menteri Hun Sen akan menyerahkan kuasa kepada anaknya akhir bulan ini selepas Parti Rakyat Kemboja (CPP) yang memerintah meraih kemenangan mudah dalam pilihan raya 23 Julai lalu. 

CPP memenangi 80% daripada jumlah 8.2 juta undi yang dikeluarkan, kata Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) pada Selasa, pengumuman rasmi pertama keputusan itu. 

Menurut Pegawai NEC, Dim Sovannarom, jumlah undi rosak adalah kurang berbanding pilihan raya 2018, selepas institusi negara juga telah membubarkan parti pembangkang pro-demokrasi, Candlelight.

Pihak berkuasa telah mengancam mengenakan hukuman berat terhadap pengundi jika mereka merosakkan kertas undi atau memboikot pilihan raya atau menggesa orang lain berbuat demikian. 

Tokoh pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia berkata Hun Sen telah bertahun-tahun menindas institusi demokrasi sambil melenyapkan penentang dan pengkritik. 

Kerajaan bagaimanapun telah menolak tuduhan sedemikian.