- Iklan -
Luar Sana

Hakim AS tolak cubaan Trump batal siasatan pilihan raya 2020

Hakim Mahkamah Daerah Fulton, Robert McBurney berkata tiada alasan untuk membatalkan kelayakan Peguam Daerah Fulton, Fani Willis daripada meneruskan siasatannya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Gambar: Reuters
Bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Gambar: Reuters

Usaha bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menggagalkan siasatan berhubung dakwaan campur tangan beliau dalam Pilihan Raya Presiden 2020 di negeri Georgia telah ditolak oleh hakim pada Isnin, lapor Xinhua, memetik media AS .

Hakim Mahkamah Daerah Fulton, Robert McBurney, menolak usaha pasukan pembelaan Trump untuk menghalang seorang peguam daerah Georgia daripada mendakwa beliau di samping menggunakan beberapa bukti yang dikumpulkan dalam siasatannya mengenai kes itu.

Dalam keputusannya, McBurney berkata tiada alasan untuk membatalkan kelayakan Peguam Daerah Fulton, Fani Willis daripada meneruskan siasatannya.

Willis telah mencadangkan bahawa beliau boleh memfailkan pertuduhan dalam kes itu dalam beberapa minggu akan datang.

Pasukan pembelaan Trump di Georgia sebelum ini meminta mahkamah menolak semua bukti daripada siasatan juri besar dan membatalkan kelayakan Willis, memetik kebimbangan mengenai perlembagaan juri agung khas di negeri itu dan mengenai "pejabat pendakwaan yang didapati mempunyai konflik sebenar, namun meneruskan penyiasatan."

Juri besar khas tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa. Tetapi ia mengeluarkan sepina dan mendengar daripada saksi selain mengeluarkan laporan akhir dengan cadangan untuk Willis.