- Iklan -
Luar Sana

Presiden Rusia, ketua Kumpulan Wagner bertemu di Moscow

Mesyuarat menyentuh mengenai tindakan semasa operasi khas ketenteraan selain memberikan penilaiannya tentang peristiwa 24 Jun.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Rusia Vladimir Putin. Gambar: Reuters
Presiden Rusia Vladimir Putin. Gambar: Reuters

Presiden Vladimir Putin mengadakan pertemuan dengan ketua Kumpulan Wagner Yevgeny Prigozhin dan para komandernya beberapa hari selepas "pemberontakan" berprofil tinggi oleh kumpulan separa tentera itu, menurut Kremlin pada Isnin.

"Presiden mengadakan mesyuarat dan memanggil 35 orang - semua komander detasmen dan kepimpinan syarikat, termasuk Prigozhin sendiri," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, dalam taklimat akhbar.

Menurut Peskov, mesyuarat pada 29 Jun itu berlangsung selama tiga jam dengan Putin menyentuh mengenai tindakan semasa operasi khas ketenteraan – menggunakan istilah Kremlin untuk perang Ukraine – selain memberikan penilaiannya tentang peristiwa 24 Jun, merujuk pemberontak yang berlaku pada hujung minggu itu.

"Putin mendengar penjelasan komander (Wagner) dan menawarkan mereka pilihan sama ada bekerja atau menyertai pertempuran seterusnya...Komander juga membentangkan versi mereka tentang apa yang berlaku," tambah Peskov.

Peskov juga berkata para komander menyokong Putin dan bersedia untuk terus berjuang demi tanah air.

Pada 24 Jun, Prigozhin menuduh Kementerian Pertahanan Rusia menyerang pejuangnya, mencetuskan "Perarakan Keadilan" menuju ke Moscow.

Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia menyifatkan tindakan Kumpulan Wagner itu sebagai "pemberontakan bersenjata" dan membuka kes jenayah terhadap Prigozhin, manakala Presiden Vladimir Putin mengatakan kebangkitan syarikat tentera swasta itu sebagai “pengkhianatan”.

Prigozhin kemudiannya berpatah balik bagi mengelak pertumpahan darah dan sejak itu dia dilaporkan berpindah ke negara sekutu Rusia, Belarus, menerusi perjanjian yang diurus oleh Presiden Alexander Lukashenko.​