- Iklan -
Luar Sana

SPR Thailand sahkan keputusan pilihan raya, bolehkan pembentukan kerajaan baru

Walaupun SPR telah memperakui keputusan semua kerusi, namun siasatan mengenai penipuan pilihan raya akan terus dijalankan dalam tempoh setahun.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki menunaikan tanggungjawab mengundi awal untuk pilihan raya umum Thailand di sebuah pusat mengundi di Bangkok, Thailand, 7 Mei. Gambar: Reuters
Seorang lelaki menunaikan tanggungjawab mengundi awal untuk pilihan raya umum Thailand di sebuah pusat mengundi di Bangkok, Thailand, 7 Mei. Gambar: Reuters

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand hari ini memperakui keputusan Pilihan Raya Umum pada 14 Mei lepas yang membuka laluan kepada penggal baru Parlimen yang akan bersidang dalam tempoh 15 hari selain pembentukan kerajaan baharu dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Kesemua 500 kerusi Dewan Perwakilan – 400 kerusi kawasan pilihan raya dan 100 kerusi senarai parti yang diperuntukkan berdasarkan perwakilan berkadar, telah pun disahkan.

Setiausaha Agung SPR, Sawaeng Boonmee, berkata walaupun SPR telah memperakui keputusan semua kerusi, siasatan mengenai penipuan pilihan raya akan terus dijalankan dalam tempoh setahun.

Selepas pengesahan kesemua 500 Ahli Parlimen hari ini, Parlimen baharu mesti bersidang dalam tempoh 15 hari untuk memilih speaker dan timbalan speaker yang baru.

Speaker Dewan akan menetapkan tarikh sesi bersama 500 ahli Dewan Perwakilan yang dipilih dan 250 senat untuk mengundi memilih perdana menteri baru.

Media tempatan melaporkan Parlimen baru dijangka bersidang pada 3 Julai.

Mengenai aduan terhadap 71 ahli Parlimen di 37 kawasan yang didakwa melanggar peraturan pilihan raya, Sawaeng berkata SPR tidak dapat menyelesaikan siasatan dalam tempoh 60 hari.

Oleh itu, suruhanjaya memutuskan untuk memperakui keputusan semua kerusi terlebih dahulu.

Mengenai siasatan terhadap pemimpin parti Move Forward dan calon perdana menteri, Pita Limjaroenrat, Sawaeng berkata siasatan masih belum selesai.

Pita sedang disiasat bagi menentukan sama ada beliau layak bertanding dalam pilihan raya umum bulan lepas kerana pemilikan saham dalam iTV Plc, penyiar yang menghentikan operasi pada 2017, yang mengikut undang-undang pilihan raya beliau tidak boleh bertanding.

Parti golongan muda Move Forward yang diterajui  Pita memperoleh lebih 14.2 juta undi dan memenangi 151 daripada 500 kerusi di Dewan Perwakilan pada pilihan raya bulan lalu.

Gabungan lapan parti yang diketuai oleh Parti Move Forward, ditubuhkan dan menguasai 313 daripada 500 kerusi Dewan.

Namun, tiada jaminan bahawa gabungan Pita akan berjaya membentuk kerajaan kerana ia masih perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya 63 ahli Senat yang dilantik oleh kerajaan tentera Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha selepas rampasan kuasa 2014, untuk mengumpul 376 undi secara keseluruhan.

Berdasarkan sejarah, para senator sebelum ini menyebelahi parti yang disokong tentera.