- Iklan -
Luar Sana

2 maut, 23 cedera siklon Biparjoy badai Gujarat, India

Lebih 1.9 juta orang di lapan daerah terjejas akibat taufan itu dan penilaian penuh kerosakan masih belum dijalankan, kata pegawai.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Dua lelaki menunggang dan membonceng motosikal melalui jalan yang dinaiki air di Mandvi susulan siklon Biparjoy membadai Gujarat di barat India, 15 Jun. Gambar: Reuters
Dua lelaki menunggang dan membonceng motosikal melalui jalan yang dinaiki air di Mandvi susulan siklon Biparjoy membadai Gujarat di barat India, 15 Jun. Gambar: Reuters

Dua terbunuh dan 23 yang lain cedera apabila ribut siklon Biparjoy membadai Gujarat di barat India, kata pegawai pada Jumaat.

Siklon yang mendarat pada petang Khamis dengan kelajuan angin antara 125 kilometer sejam (kmsj) dan 140 kmsj itu, meragut nyawa dua petani di daerah Bhavnagar dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain, lapor Xinhua.

Bekalan elektrik di sekitar 1,000 kampung terganggu dan perkhidmatan kereta api turut terjejas, menurut laporan media.

Lebih 1.9 juta orang di lapan daerah terjejas akibat taufan itu dan penilaian penuh kerosakan masih belum dijalankan, kata pegawai.

Menurut kerajaan tempatan berkata kira-kira 94,000 penduduk di kawasan pantai dan rendah telah dipindahkan ke lokasi lebih selamat.

Menurut Jabatan Meteorologi India, ribut taufan itu berkemungkinan menjadi semakin lemah apabila mendarat di Saurashtra dan Kutch sekitar petang Jumaat.