- Iklan -
Luar Sana

Britain ambil langkah kekang penggunaan vape dalam kalangan remaja

Perdana Menteri Rishi Sunak berkata pemasaran dan penjualan vape secara haram kepada kanak-kanak adalah 'tidak boleh diterima sama sekali'.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Rokok elektronik disusun di dalam kabinet di kedai vape, 2 Mei ini. Gambar: Reuters
Rokok elektronik disusun di dalam kabinet di kedai vape, 2 Mei ini. Gambar: Reuters

Kerajaan Britain mengumumkan akan menutup kelemahan undang-undang yang membolehkan peruncit memberikan sampel vape secara percuma kepada kanak-kanak.

Ini adalah tindakan tegas terhadap penjualan rokok elektronik yang reka bentuknya berwarna-warni dengan pelbagai perisa buah-buahan menjadikannya menonjol di rak kedai runcit.

"Saya amat bimbang tentang peningkatan mendadak dalam penggunaan vape di kalangan kanak-kanak dan terkejut dengan laporan vape haram yang mengandungi plumbum sampai ke tangan murid sekolah," kata Perdana Menteri Rishi Sunak dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan, merujuk kepada laporan BBC minggu lalu. 

"Pemasaran dan penjualan vape secara haram kepada kanak-kanak adalah tidak boleh diterima sama sekali." 

Kenyataan itu memetik tinjauan 2023 oleh badan amal kesihatan awam, Action on Smoking and Health, ke atas kanak-kanak berumur 11 hingga 17 tahun di mana dua daripada lima orang berkata mereka menghisap vape hanya untuk mencubanya, manakala satu daripada lima berkata mereka melakukannya kerana tekanan rakan sebaya.

Isu ini bukan unik di Britain, di mana menjual vape kepada kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun adalah haram. 

Tinjauan pada awal tahun 2022, dianggarkan 2.55 juta pelajar sekolah menengah di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menggunakan rokok elektronik, kata pegawai kesihatan sambil menyifatkan sebagai satu tahap yang membimbangkan.

"Kita harus terus menggalakkan perokok bertukar kepada vape sebagai risiko yang lebih rendah, sambil menghalang pemasaran dan penjualan vape kepada kanak-kanak," kata Ketua Pegawai Perubatan England Chris Whitty dalam satu kenyataan. 

Kerajaan berkata ia juga akan mengkaji semula peraturan terhadap pemilik kedai yang menjual vape kepada kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan mengeluarkan denda di tempat dan notis penalti tetap dengan lebih mudah.