- Iklan -
Luar Sana

Neuralink milik Elon Musk dapat kelulusan FDA kaji implan otak pada manusia

Sekurang-kurangnya empat kali sejak 2019, Musk telah meramalkan bahawa syarikat peranti perubatannya akan memulakan ujian klinikal terhadap manusia bagi implan otak untuk merawat keadaan sukar dikawal seperti lumpuh dan buta.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar ilustrasi logo Neuralink dan Elon Musk yang diambil pada 9 Disember 2022. Gambar: Reuters
Gambar ilustrasi logo Neuralink dan Elon Musk yang diambil pada 9 Disember 2022. Gambar: Reuters

Syarikat implan otak milik Elon Musk, Neuralink semalam memaklumkan telah menerima kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) untuk memulakan kajian klinikal pertama terhadap manusia.

Ini adalah satu peristiwa penting apabila sebelum ini syarikat tersebut bergelut untuk mendapatkan kelulusan. 

Sekurang-kurangnya empat kali sejak 2019, Musk telah meramalkan bahawa syarikat peranti perubatannya akan memulakan ujian klinikal terhadap manusia bagi implan otak untuk merawat keadaan sukar dikawal seperti lumpuh dan buta. 

Namun syarikat itu, yang diasaskan pada 2016, hanya melakukan permohonan mendapatkan kelulusan FDA pada awal 2022 – yang ketika itu ditolak agensi berkenaan, kata tujuh individu yang masih atau pernah bekerja di Neuralink kepada Reuters pada Mac lalu.

Menurut pekerjanya, FDA telah menyuarakan beberapa kebimbangan kepada Neuralink yang perlu ditangani sebelum meluluskan kajian klinikal dilakukan terhadap manusia.

Isu utama adalah melibatkan bateri litium peranti dan cabaran mengekstrak peranti tersebut dengan selamat tanpa merosakkan tisu otak.

Kelulusan FDA diperoleh syarikat itu selepas beberapa ahli Parlimen AS menggesa pengawal selia untuk menyiasat sama ada anggota panel yang menyelia ujian haiwan di Neuralink menyumbang kepada percubaan yang gagal dan tergesa-gesa. 

Malah, Neuralink sebelum ini telah pun menjadi subjek siasatan pihak Persekutuan. 

Pada 5 Disember lalu, Reuters melaporkan bahawa Ketua Inspektor Jabatan Pertanian AS (USDA) sedang menyiasat, atas permintaan pendakwa raya Persekutuan, mengenai kemungkinan berlaku pelanggaran Akta Kebajikan Haiwan yang mengawal cara penyelidik merawat dan menguji jenis haiwan tertentu.

Siasatan juga telah melihat pengawasan USDA terhadap Neuralink. 

Sementara itu, Neuralink dalam ciapan di Twitter semalam berkata ia belum dibuka untuk ujian klinikal.

"Ini adalah hasil kerja luar biasa oleh pasukan Neuralink dengan kerjasama rapat bersama FDA dan mewakili langkah pertama yang suatu hari nanti akan membolehkan teknologi kami membantu ramai orang," kata Neuralink dalam ciapan di Twitter semalam. 

Selama bertahun-tahun, Musk telah mendedahkan secara terbuka rancangan utamanya untuk Neuralink.

Musk menjadi perhatian tahun lalu apabila beliau mengatakan sudah begitu yakin dengan keselamatan peranti itu sehingga sanggup menanamnya dalam otak anak-anaknya sendiri. 

Musk membayangkan kedua-dua anaknya akan segera mendapatkan implan pembedahan di pusat tempatan. 

Peranti ini bertujuan untuk menyembuhkan pelbagai keadaan daripada obesiti, autisme, kemurungan, skizofrenia dan telepati. 

Reuter cuba mendapatkan maklum balas daripada FDA namun tidak berjaya.