- Iklan -
Luar Sana

India wajibkan ujian untuk eksport sirap ubat batuk selepas kematian di luar negara

Sirap batuk buatan India dikaitkan dengan kematian 70 kanak-kanak di Gambia dan 19 di Uzbekistan tahun lepas, sekali gus menjejaskan imej industri farmaseutikal negara itu yang bernilai AS$41 bilion.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita berjalan melepasi pintu masuk Goel Pharma Chem di Gambia, di New Delhi, India, 3 April. Gambar: Reuters
Seorang wanita berjalan melepasi pintu masuk Goel Pharma Chem di Gambia, di New Delhi, India, 3 April. Gambar: Reuters

India akan membenarkan pengeksportan sirap ubat batuk hanya selepas sampel diuji di makmal kerajaan, demikian menurut satu notis kerajaan hari ini.

Arahan mewajibkan pengujian sampel itu susulan kematian puluhan kanak-kanak Gambia dan Uzbekistan disebabkan sirap ubat batuk buatan India.

Menurut notis bertarikh 22 Mei yang dikongsi oleh Kementerian Kesihatan itu, mana-mana sirap batuk mesti mempunyai sijil analisis yang dikeluarkan oleh makmal kerajaan sebelum ia dieksport, berkuat kuasa 1 Jun.

"Sirap ubat batuk dibenarkan untuk dieksport tertakluk kepada sampel eksport diuji dan pengeluaran sijil analisis," menurut notis yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan. 

Sirap batuk buatan India dikaitkan dengan kematian 70 kanak-kanak di Gambia dan 19 di Uzbekistan tahun lepas, sekali gus menjejaskan imej industri farmaseutikal negara itu yang bernilai AS$41 bilion (kira-kira RM187 bilion). 

Reuters melaporkan minggu lalu bahawa India sedang mempertimbangkan perubahan kepada dasar industri farmaseutikalnya, termasuk peningkatan ujian sirap ubat batuk serta bahan mentah untuk ubat.