Bos forex Britain disabit bersalah tipu AS$62 juta babit skim mirip Ponzi
Syarikat itu menawarkan pulangan pelaburan bulanan sebanyak 5%.
Terkini
Seorang bos syarikat tukaran asing Britain yang menggunakan wang tunai pelabur untuk membiayai gaya hidup mewahnya telah disabitkan bersalah di mahkamah London atas peranannya dalam skim penipuan mirip Ponzi berjumlah AS$62 juta (kira-kira RM281.4 juta).
Anthony Constantinou didapati bersalah pada Isnin atas satu pertuduhan penipuan dengan representasi palsu, dua pertuduhan penipuan dagangan dan empat pertuduhan memindahkan harta jenayah, kata Polis Kota London dalam satu kenyataan.
Lelaki berusia 41 tahun itu, yang mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan, dibebaskan dengan ikat jamin pada April dan perbicaraan di Mahkamah Southwark Crown London diteruskan tanpa kehadirannya.
Reuters cuba menghubungi Constantinou semalam bagi mendapatkan maklum balas namun tidak berjaya.
Constantinou menjalankan Pasaran Modal Dunia (CWM), yang menawarkan pulangan pelaburan bulanan sebanyak 5%.
Pendakwa raya memberitahu mahkamah bahawa pelabur terpikat oleh pejabat mewah City of London CMW dan tawaran penajaan sukan berprofil tinggi, termasuk bersama kelab bola sepak Liga Perdana, Chelsea.
Namun, penipuan itu terbongkar pada Mac 2015 apabila CWM diserbu polis, kata pendakwa dalam perbicaraan Constantinou.
Penyiasat mendapati dia telah membelanjakan wang CWM untuk menyewa rumah agam enam bilik tidur dan membayar penerbangan peribadi serta pesta mewah, termasuk 2.5 juta pound untuk perkahwinannya di pulau Santorini, Greece.
Constantinou baru-baru ini ditangkap di Bulgaria dengan dokumen pengenalan diri palsu tetapi dibebaskan dan masih bebas, mahkamah diberitahu minggu lalu.
Hakim Gregory Perrins berkata beliau akan menjatuhkan hukuman terhadap Constantinou semasa ketiadaannya pada 9 Jun.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Artikel Berkaitan
Tiada artikel ditemui.