- Iklan -
Luar Sana

Erdogan rayu sokongan pengundi Turkiye dalam pusingan penentuan demi kestabilan

Erdogan memperoleh 49.5% dalam undian pada Ahad, kurang daripada majoriti mutlak yang diperlukan untuk mengelakkan pusingan penentuan yang dilihat sebagai referendum mengenai pemerintahan autokratiknya.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penjaja dengan poster kempen pilihan raya Presiden Recep Tayyip Erdogan di belakangnya, selepas pusingan pertama pilihan raya presiden dan Parlimen, di Istanbul, Turkiye, 15 Mei. Gambar: Reuters
Seorang penjaja dengan poster kempen pilihan raya Presiden Recep Tayyip Erdogan di belakangnya, selepas pusingan pertama pilihan raya presiden dan Parlimen, di Istanbul, Turkiye, 15 Mei. Gambar: Reuters

Presiden Recep Tayyip Erdogan semalam merayu pengundi Turkiye supaya menyokongnya dalam pilihan raya 28 Mei ini bagi mengekalkan kestabilan di negara itu, ketika beliau bergelut untuk mengekalkan pemerintahan penggal  ketiganya.

Ahad lalu, Erdogan hanya memperoleh 49.5%, kurang daripada majoriti mutlak yang diperlukan untuk mengelakkan pusingan penentuan yang dilihat sebagai referendum mengenai pemerintahan autokratiknya. 

Pencabar utamanya, Kemal Kilicdaroglu, calon pakatan pembangkang, meraih 45% undi. 

Aset kewangan Turkiye melemah untuk hari kedua, terutamanya bon kerajaan dan korporat serta saham perbankan. Ini disebabkan pelabur menjangkakan Erdogan, 69, akan memenangi penggal baru untuk tempoh lima tahun lagi dan meneruskan dasar ekonominya. 

Dalam pilihan raya Parlimen yang juga diadakan pada Ahad, Perikatan Rakyat, terdiri daripada Parti AK (AKP) pimpinan Erdogan dan rakan nasionalis dan Islamisnya, memenangi 322 daripada 600 kerusi, mencapai majoriti yang membolehkan beliau mengatakan dengan mengundinya akan memastikan kestabilan. 

Erdogan berkata bahawa Turkiye memerlukan keharmonian antara Parlimen dan jawatan presiden untuk tadbir urus yang baik.

"Kedudukan kukuh Perikatan Rakyat di Parlimen juga menjadikan kita lebih kuat sebagai kerajaan. Keharmonian antara eksekutif dan badan perundangan akan membantu pembangunan negara kita," katanya dalam wawancara yang disiarkan oleh CNN Turk. 

Pecahan jumlah pengundian menunjukkan AKP berada di tempat teratas meskipun di 10 daripada 11 wilayah yang terjejas akibat gempa bumi dahsyat Februari lalu di tenggara Turkiye, di mana lebih 50,000 nyawa terkorban dan jutaan penduduk hilang tempat tinggal. 

Penganalisis berkata keputusan ini menunjukkan janji Erdogan untuk membina semula bandar yang musnah akibat gempa bumi telah meyakinkan pengundi di kawasan yang kebanyakannya merupakan kubu kuat AKP.

'Terowong gelap' 

Bagi pihaknya, pencabar Erdogan, Kilicdaroglu berusaha untuk memberikan putaran positif pada keputusan itu. 

"Mesej perubahan ini muncul dari peti undi. Mereka yang mahukan perubahan di negara ini kini lebih ramai berbanding mereka yang tidak mahu," kata Kilicdaroglu, merujuk kepada peratusan undi kurang 50% yang diperoleh Erdogan, dalam satu siri tweet yang ditujukan kepada "anak muda dikasihi".

Tetapi ramai penyokongnya, termasuk pengundi kali pertama Asim, menjangkakan Kilicdaroglu memiliki peluang tipis dalam undian pusingan penentuan. 

“Saya putus harapan sekarang,” kata Asim, seorang pelajar berusia 22 tahun. 

"Saya rasa ada kebuntuan di sini. Di satu pihak terdapat pengundi nasionalis (Turkiye) dan di pihak lain terdapat pengundi Kurdish," katanya, merujuk kepada gabungan luas yang menyokong Kilicdaroglu, seorang bekas penjawat awam yang lemah lembut. 

"Hanya ahli politik yang mahir boleh menarik kemenangan daripada situasi ini, dan orang itu bukan Kilicdaroglu, pada pandangan saya." 

Kilicdaroglu, 74, merayu kepada pengundi muda dengan merujuk kepada krisis kos sara hidup, yang melanda Turkiye dan diburukkan lagi dengan desakan Erdogan untuk mengurangkan kadar faedah, menyebabkan kejatuhan mendadak dalam lira dan inflasi yang melambung tinggi. 

"Anda tidak mempunyai wang yang cukup untuk apa-apa," katanya. 

"Kegembiraan hidup awak telah dicabut... Awak tidak akan kembali muda. Kita ada 12 hari untuk keluar dari terowong gelap ini..."