- Iklan -
Luar Sana

Perikatan Rakyat 'mendahului’ pilihan raya Parlimen, kata Erdogan

Recep Tayyip Erdogan berkata beliau mempunyai lebih kurang 2.6 juta undi berbanding pesaing terdekatnya Kemal Kilicdaroglu, ketua pembangkang utama Parti Rakyat Republikan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, ditemani isterinya Ermine Erdogan, menyambut penyokong balkoni ibu pejabat Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) di Ankara. Gambar: Reuters
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, ditemani isterinya Ermine Erdogan, menyambut penyokong balkoni ibu pejabat Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) di Ankara. Gambar: Reuters

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, Perikatan Rakyat "mendahului" dalam pilihan raya umum dan presiden Ahad ini, meskipun keputusan rasmi masih belum diumumkan, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Negara kita telah menyempurnakan satu lagi demokrasi dengan mengadakan pilihan raya 14 Mei. Walaupun keputusan yang tepat masih belum jelas, kita mendahului dengan selesa," Erdogan memberi ucapan dari balkoni ibu pejabat Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) di Ankara.

Beliau membuat kenyataan itu selepas berjuta-juta pengundi keluar melaksanakan tanggungjawab mereka memilih presiden dan 600 ahli Parlimen.

Erdogan berkata beliau mempunyai lebih kurang 2.6 juta undi berbanding pesaing terdekatnya Kemal Kilicdaroglu, ketua pembangkang utama Parti Rakyat Republikan (CHP).

Menggariskan peratusan keluar mengundi yang besar dalam pilihan raya itu, Erdogan berkata angka itu adalah "antara yang tertinggi dalam sejarah negara."

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap rakyat yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka dengan rekod keluar mengundi mencerminkan keutamaan untuk masa depan negara dan diri mereka sendiri," katanya.

Erdogan juga menegaskan bahawa beliau menghormati kehendak popular dan mengharapkan "kematangan demokratik" daripada semua orang.

“Negara kita mempunyai fungsi yang menjadi contoh kepada dunia dari segi pelaksanaan hak dan kebebasan politik serta kebolehpercayaan sistem pilihan raya.

"Jika keputusan menunjukkan pilihan raya presiden sudah berakhir, tiada masalah. Jika negara kita telah membuat pilihan memihak kepada pusingan kedua pilihan raya, dialu-alukan untuk berbuat demikian.

"Kami percaya kami akan menamatkan pusingan ini dengan memperoleh lebih 50 peratus undi," kata Erdogan.

Pada undian presiden, pengundi memilih antara Erdogan, Kilicdaroglu, dan Sinan Ogan daripada Perikatan ATA (Ancestral).

Seorang lagi pencabar Muharrem Ince,, menarik diri pada Khamis.

Sementara itu, ketua pilihan raya Ahmet Yener berkata tiada kelewatan kemasukan data pilihan raya umum Türkiye pada Ahad, lapor Agensi Anadolu.

“Pada masa ini tiada gangguan atau kelewatan dalam kemasukan data oleh Lembaga Pemilihan Tertinggi,” beliau memberitahu pemberita mengenai keputusan pilihan raya presiden dan parlimen pada 14 Mei, yang kini masih dikira selepas pengundian ditutup kira-kira enam jam lebih awal.

Pada masa ini, 12.6% undi luar negara dan 47.08% undi di seluruh negara telah dimasukkan ke dalam sistem.

“Data kami juga dikongsi serta-merta dengan parti-parti politik,” katanya.