- Iklan -
Luar Sana

WHO isytihar cacar monyet bukan lagi kecemasan kesihatan awam

Walaupun sudah lama terdapat di bahagian Afrika Tengah dan Barat, pada Mei tahun lalu kes cacar monyet mula muncul di Eropah, Amerika Utara, kebanyakannya di kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia Tedros Adhanom Ghebreyesus menghadiri taklimat di Geneva, Switzerland, 14 Disember. Gambar: Reuters
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia Tedros Adhanom Ghebreyesus menghadiri taklimat di Geneva, Switzerland, 14 Disember. Gambar: Reuters

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan bahawa wabak cacar monyet bukan lagi kecemasan kesihatan awam antarabangsa semalam, setahun selepas penyakit itu mula merebak ke seluruh dunia.

Berikutan penurunan jumlah kes, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media dalam talian memberitahu, beliau “dengan penuh harapan mengisytiharkan” bahawa amaran tertinggi wabak itu ditarik balik selepas mendapat nasihat daripada Jawatankuasa Keselamatan PBB.

Pengumuman itu dibuat hanya seminggu selepas WHO mengatakan bahawa Covid-19 juga bukan lagi menjadi Kecemasan Kesihatan Awam Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC).

"Walaupun kecemasan cacar monyet dan Covid-19 kedua-duanya sudah berakhir, ancaman gelombang penularannya masih kekal. Kedua-dua virus terus menular dan kedua-duanya terus membunuh," kata Tedros. 

"Cacar monyet terus menimbulkan cabaran kesihatan awam penting yang memerlukan tindak balas teguh, proaktif dan mampan," tambahnya, menyeru negara untuk terus berwaspada.

Walaupun sudah lama terdapat di bahagian Afrika Tengah dan Barat, pada Mei tahun lalu kes cacar monyet mula muncul di Eropah, Amerika Utara, kebanyakannya di kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis. 

WHO mengisytiharkan cacar monyet adalah PHEIC pada bulan Julai. Bagaimanapun, bilangan individu yang dijangkiti penyakit itu – yang menyebabkan demam, sakit otot dan ruam pada kulit – telah menurun secara konsisten sejak itu. 

Lebih 87,000 kes dan 140 kematian telah dilaporkan dari 111 negara semasa wabak global, menurut kiraan WHO. 

Akan tetapi hampir 90% kes direkodkan dalam tempoh tiga bulan lepas berbanding tempoh tiga bulan sebelumnya, kata Tedros. 

"Walaupun kami mengalu-alukan trend penurunan kes cacar monyet di seluruh dunia, virus itu terus menjejaskan komuniti di semua wilayah, termasuk di Afrika, di mana penularan masih belum ditangani dengan baik," katanya. 

Selepas status itu ditarik balik untuk Covid dan cacar monyet, kini hanya terdapat satu PHEIC yang diisytiharkan oleh WHO – untuk virus polio, yang diisytiharkan pada Mei 2014.