- Iklan -
Luar Sana

Israel, pejuang Palestin berbalas tembakan roket ke atas Gaza

Keganasan di Gaza minggu ini adalah yang terburuk sejak serangan tiga hari pada bulan Ogos yang membunuh 49 rakyat Palestin, dan tiada kematian membabitkan rakyat Israel.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Roket dilancarkan dari Gaza ke Israel, 10 Mei. Gambar: Reuters
Roket dilancarkan dari Gaza ke Israel, 10 Mei. Gambar: Reuters

Tentera Israel dan pejuang Gaza melepaskan tembakan rentas sempadan yang sengit pada Rabu, dengan 22 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh dua hari di tengah-tengah peningkatan keganasan terburuk melanda wilayah pantai negara itu dalam tempoh beberapa bulan ini.

Keganasan di Gaza minggu ini adalah yang terburuk sejak serangan tiga hari pada bulan Ogos yang membunuh 49 rakyat Palestin, dan tiada kematian membabikan rakyat Israel.

Siren di kawasan Tel Aviv dan selatan Israel memberi amaran tentang roket masuk, dengan wartawan AFP memerhatikan pelancaran dari Gaza ketika pegawai Israel berkata Mesir sedang mengusahakan kemungkinan gencatan senjata dengan pejuang Jihad Islam. 

Asap berkepul-kepul dari kawasan pesisir pantai yang padat dengan penduduk selepas Israel mengumumkan negara itu menyasarkan tapak pelancaran roket Jihad Islam. 

Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant merekodkan lebih 400 pelancaran dari Gaza lewat Rabu, ketika Jihad Islam berkata "penentangan" Palestin terus menerus.

Sebuah rumah dan kereta terkena roket di bandar Ashkelon dan Sderot di selatan Israel, kata pegawai Israel, dengan tentera mengumumkan beberapa siri serangan baru ke atas Semenanjung Gaza yang disekat.

Kementerian kesihatan Gaza berkata tujuh orang terbunuh, sehari selepas serangan Israel ke atas wilayah Palestin menyebabkan 15 maut. 

Empat daripada mereka yang terbunuh adalah pejuang Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin, kata kumpulan itu. 

Lewat Rabu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata Israel "masih di tengah-tengah kempen," sambil menyatakan bahawa "tiada orang awam Israel yang cedera sehingga kini". 

Konflik Israel-Palestin semakin memuncak sejak gabungan terbaru Netanyahu, termasuk parti kanan ekstrem dan ultra-Ortodoks, memegang jawatan pada Disember. 

Ia hadir dengan latar belakang krisis domestik terbesar Israel dalam beberapa dekad di sekitar pembaharuan kehakiman yang kini tertangguh yang dicadangkan oleh kerajaan Netanyahu, malah dirinya sendiri sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah yang dinafikannya.

Usaha gencatan senjata Mesir 

Sebelum ini, seorang pegawai Israel memberitahu AFP dengan syarat enggan namanya disiarkan bahawa Mesir "berusaha untuk memudahkan gencatan senjata". 

Sumber di Gaza yang dekat dengan Jihad Islam dan Hamas mengesahkan usaha Mesir untuk mendapatkan gencatan senjata, tanpa memberikan sebarang butiran lanjut. 

Keganasan terbaharu berlaku sehari selepas serangan Israel ke atas Gaza mengorbankan tiga pejuang Jihad Islam terkemuka dan 12 yang lain, termasuk empat kanak-kanak, menurut angka Kementerian Kesihatan. 

Menteri Luar Israel Eli Cohen memberitahu penyiar awam Channel 11 lewat Rabu bahawa Jihad Islam "meminta gencatan senjata". 

Jihad Islam berikrar pada Selasa untuk bertindak balas, dengan Israel memberi amaran kepada penduduknya berhampiran sempadan untuk tinggal berhampiran tempat perlindungan bom.

Menjelang siri berbalas tembakan pada Rabu, kedai-kedai yang biasanya sibuk di Gaza telah ditutup.

Penduduk di Gaza "menjangkakan kejadian paling teruk", kata penduduk Monther Abdullah. 

"Semua orang berasa cemas dan ramai tidak berada di jalanan. Saya pasti rasa seperti ada perang yang akan datang," kata seorang penduduk Gaza berusia 50 tahun itu kepada AFP. 

Di Tel Aviv, Odelia Abromovitch berkata tembakan roket di bandarnya adalah "menakutkan." 

"Ini adalah antara kali pertama saya mendengar siren di Tel Aviv," katanya. 

"Tetapi inilah keadaan yang kita hadapi."