- Iklan -
Luar Sana

Singapura syor undang-undang lebih ketat perangi jenayah dalam talian

Jika diluluskan, ia antara lain membolehkan aplikasi mencurigakan dialih keluar daripada “app stores” dan menuntut penyedia perkhidmatan dalam talian menyekat kandungan tertentu.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berjalan keluar untuk rehat makan tengah hari di kawasan perniagaan Raffles Place di Singapura pada 16 Februari. Gambar: AFP
Orang ramai berjalan keluar untuk rehat makan tengah hari di kawasan perniagaan Raffles Place di Singapura pada 16 Februari. Gambar: AFP

Rang undang-undang (RUU) membenarkan pihak berkuasa Singapura mengalih keluar aplikasi telah diperkenalkan di Parlimen semalam bagi memberi kuasa kepada polis untuk memerangi jenayah dalam talian, berniat jahat dan penipuan. 

Jika diluluskan, Rang Undang-undang Kemudaratan Jenayah Dalam Talian antara lain membolehkan aplikasi mencurigakan dialih keluar daripada “app stores” dan menuntut penyedia perkhidmatan dalam talian menyekat kandungan tertentu.

Arahan sedemikian boleh diberikan "apabila terdapat syak wasangka yang munasabah bahawa aktiviti dalam talian sedang dijalankan untuk melakukan jenayah”, kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan. 

Kementerian itu menambah bahawa "pendekatan proaktif" diperlukan untuk memerangi skala dan kelajuan penjenayah. 

Rang undang-undang itu mungkin akan diluluskan oleh Parlimen, sama seperti kebanyakan undang-undang yang dicadangkan di negara kota Singa yang ketat itu. 

Tahun lepas, 33,669 kes penipuan dan jenayah siber dilaporkan di Singapura, meningkat 25.2% daripada 2021, menurut kementerian itu.

Pihak berkuasa juga menegaskan bahawa lebih 30 suspek pengedaran dadah telah ditangkap dalam operasi polis yang menyasarkan transaksi yang dijalankan melalui aplikasi sembang yang disulitkan pada April tahun lepas. 

Kementerian berkata rang undang-undang yang dicadangkan itu adalah sebahagian daripada "rangkaian perundangan" untuk menjadikan ruang dalam talian lebih selamat. 

Singapura meluluskan undang-undang yang menjadi perbalahan dua tahun lalu bertujuan menghalang campur tangan asing dalam politik dalam negeri. 

Empat tahun lalu, negara itu meluluskan undang-undang membanteras "berita palsu", yang memberi kuasa kepada menteri untuk mengarahkan laman media sosial meletakkan amaran di sebelah siaran yang dianggap palsu oleh pihak berkuasa malah dalam kes tertentu, ia diarah untuk diturunkan.