- Iklan -
Luar Sana

Liga Arab terima semula keanggotaan Syria selepas 12 tahun

Keputusan itu buat pada mesyuarat menteri-menteri luar negara Arab di Kaherah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pandangan umum menunjukkan sesi pembukaan mesyuarat menteri-menteri luar negara Arab di Ibu Pejabat Liga Arab, untuk membincangkan situasi Sudan dan Syria, di Kaherah, Mesir 7 Mei. Gambar: Reuters
Pandangan umum menunjukkan sesi pembukaan mesyuarat menteri-menteri luar negara Arab di Ibu Pejabat Liga Arab, untuk membincangkan situasi Sudan dan Syria, di Kaherah, Mesir 7 Mei. Gambar: Reuters

Liga Arab pada Ahad memutuskan untuk menerima semula  keanggotaan Syria selepas keanggotaanya digantung selama 12 tahun, lapor Agensi Anadolu.

Berucap pada sidang akhbar di Kaherah, Menteri Luar Mesir Sameh Shoukry berkata menteri-menteri luar Liga Arab bersetuju untuk menerima semula penyertaan delegasi kerajaan Syria dalam mesyuarat Liga.

Keputusan itu buat pada mesyuarat menteri-menteri luar negara Arab di ibu negara Mesir.

Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul Gheit mengesahkan bahawa Syria telah diterima semula ke badan negara-negara Arab itu.

Bercakap pada sidang media yang sama, Aboul Gheit berkata jawatankuasa telah dibentuk oleh Mesir, Arab Saudi, Jordan dan Iraq dalam usaha ke arah merealisasikan penyelesaian krisis Syria.

"Jalinan hubungan normal antara Syria dan negara-negara Arab merupakan keputusan berdaulat bagi setiap negara," katanya.

Laporan awal menyebut menteri-menteri luar negeri Arab memberi kelulusan bersyarat untuk Syria  kembali ke Liga Arab.

Menurut majalah Saudi Al Majalla, rejim Syria perlu mengambil langkah praktikal ke arah menyelesaikan krisis Syria.

Keputusan untuk menerima semula keanggotaan Syria dibuat menjelang sidang kemuncak tahunan Arab di Arab Saudi pada 19 Mei.

Syria digantung daripada badan 22 negara itu pada 2011 ekoran tindakan keras rejim terhadap protes pro-Demokrasi, yang membawa kepada perang saudara.

Rejim Syria bagaimanapun mula bertukar-tukar lawatan rasmi dan hubungan dengan beberapa negara Arab sejak beberapa bulan kebelakangan ini.