- Iklan -
Luar Sana

WHO isytihar Covid-19 bukan lagi kecemasan kesihatan global

Ini sekali gus menandakan kemajuan dunia yang dikecapi dalam bidang tersebut, meskipun menurut WHO, Covid-19 akan kekal dalam komuniti tetapi ia tidak lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus menghadiri taklimat di Geneva, Switzerland, 14 Disember 2022. Gambar: Reuters
Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus menghadiri taklimat di Geneva, Switzerland, 14 Disember 2022. Gambar: Reuters

Covid-19 tidak lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan global, umum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

Ia menjadi langkah terbesar menuju kepada pengakhiran pandemik yang mengorbankan lebih 6.9 juta orang, mengancam ekonomi dunia dan memusnahkan komuniti sejagat. 

Syor itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan WHO semalam sekali gus mengisytiharkan penamatan kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa sejak tiga tahun lalu.

"Oleh itu, dengan penuh harapan saya mengisytiharkan penamatan Covid-19 sebagai kecemasan kesihatan global," kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Tedros menambah penamatan itu tidak bermakna wabak Covid berakhir sebagai ancaman kesihatan global. 

Jawatankuasa Kecemasan WHO pertama kali mengisytiharkan Covid dikategorikan sebagai tahap amaran tertinggi selama lebih tiga tahun lalu, bermula 30 Januari 2020. 

Status itu membantu menumpukan perhatian antarabangsa kepada ancaman kesihatan, serta mengukuhkan kerjasama berkait pemberian vaksin dan rawatan. 

Ini sekali gus menandakan kemajuan dunia yang dikecapi dalam bidang tersebut, meskipun menurut WHO, Covid-19 akan kekal dalam komuniti tetapi ia tidak lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan.

"Covid telah mengubah dunia, dan ia telah mengubah kita. Dan itulah cara yang sepatutnya. Jika kita kembali kepada keadaan sebelum Covid-19, kita akan gagal untuk mempelajari pelajaran kita, dan menggagalkan generasi masa depan kita," kata Ghebreyesus. 

Menurut data WHO, kadar kematian telah merekodkan trend perlahan berbanding waktu puncak iaitu melibatkan lebih 100,000 orang seminggu pada Januari 2021 kepada lebih 3,500 dalam seminggu hingga 24 April lalu. 

WHO tidak mengisytiharkan permulaan atau akhir wabak, meskipun badan dunia itu mula menggunakan istilah Covid pada Mac 2020. 

Tahun lalu, Presiden AS Joe Biden berkata wabak itu telah berakhir. 

Seperti beberapa negara lain, AS dianggap ekonomi terbesar dunia itu telah mula merombak keadaan kecemasan domestiknya untuk Covid, bermakna negara itu akan berhenti membayar hal berkaitan vaksin.

Rantau lain telah mengambil langkah yang sama. 

Kesatuan Eropah pada April tahun lalu mengumumkan bahawa fasa kecemasan wabak itu telah berakhir, dan ketua WHO Afrika, Matshidiso Moeti, pada bulan Disember berkata sudah tiba masanya untuk beralih kepada pengurusan rutin Covid di seluruh benua. 

Menamatkan kecemasan bermakna usaha sama antarabangsa atau pembiayaan juga boleh ditamatkan atau peralihan fokus, walaupun ramai yang telah menyesuaikan diri apabila wabak itu telah surut di kawasan berbeza.