- Iklan -
Luar Sana

Pekerja kesihatan di UK sekali lagi adakan mogok

Mogok kali ini turut melibatkan kakitangan kejururawatan yang bekerja di jabatan kecemasan, unit rawatan rapi, penjagaan kanser dan perkhidmatan lain yang sebelum ini dikecualikan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Doktor muda memegang sepanduk semasa mogok, di tengah-tengah pertikaian dengan kerajaan berhubung isu gaji, di London, Britain 11 April. Gambar: Reuters
Doktor muda memegang sepanduk semasa mogok, di tengah-tengah pertikaian dengan kerajaan berhubung isu gaji, di London, Britain 11 April. Gambar: Reuters

Pekerja kesihatan di United Kingdom (UK) kembali mengadakan mogok pada Isnin dan Selasa, selepas kesatuan sekerja menolak tawaran gaji yang dikemukakan pihak kerajaan pada bulan lalu.

Anggota Kolej Kejururawatan Diraja (RCN) memulakan mogok pusingan ketiga pada pukul 8 malam Ahad dan akan diteruskan sehingga tengah malam Isnin, di tengah-tengah krisis kos sara hidup di UK yang semakin meruncing.

Bagaimanapun, mogok kali ini turut melibatkan kakitangan kejururawatan yang bekerja di jabatan kecemasan, unit rawatan rapi, penjagaan kanser dan perkhidmatan lain yang sebelum ini dikecualikan, menurut RCN.

Bagaimanapun, RCN bersetuju membuat beberapa pengecualian bagi memastikan perkhidmatan penting dalam Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) masih dapat beroperasi.

Mogok itu yang pada asalnya dirancang sehingga petang Selasa, dipendekkan sehari berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pekerja ambulans juga melancarkan mogok pada Isnin dan Selasa di beberapa kawasan termasuk London, Yorkshire, Lancashire dan Birmingham, yang diwakili oleh kesatuan sekerja Unite, lapor Xinhua.

Pada pertengahan Mac, kerajaan UK menawarkan kenaikan gaji lima peratus bagi tahun 2023-24, dan bayaran bonus one off kepada pekerja kesihatan

Ahli RCN dan Unite menolak tawaran itu dan memutuskan untuk meneruskan mogok.

Setiausaha Agung Unite, Sharon Graham, berkata tawaran gaji itu tidak mencukupi memandangkan kadar inflasi di UK kekal dalam dua digit.

Setiausaha Agung dan Ketua Eksekutif RCN Pat Cullen menggesa menteri supaya kembali ke meja rundingan rasmi kerana kakitangan kejururawatan mahu mencari penyelesaian adil yang menunjukkan kerajaan menilai dan memahami profesion mereka.